--> Skip to main content

Allahyarham Abdul Rahman Arshad selamat disemadikan

JENAZAH tokoh pendidikan negara, Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, 84, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang, Masjid Tanah, Alor Gajah, 6.30 petang hari ini.

Jenazah tiba di Masjid As Solihin, Kampung Ayer Limau pada 5.15 petang dan disembahyangkan kariah kampung berkenaan serta ahli keluarga sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Anak saudara arwah, Yusof Ali, 63, berkata, Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor selepas menderita barah selama tiga bulan.

"Allahyarham dilahirkan di Kampung Pinang sebelum bersekolah di Sekolah Tinggi Melaka dan melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Singapura.

"Allahyarham adalah adik kepada ibu saya, Allahyarhamah Alpiah Arshad yang meninggal dunia pada Ogos tahun lalu dan mereka sangat rapat. Allahyarham sering pulang ke Kampung Pinang untuk menziarahi ibu terutama pada Aidilfitri," katanya ketika ditemui di masjid berkenaan hari ini.

Beliau berkata, Allahyarham amat mementingkan pendidikan dan pernah menjadi Ketua Pengarah Pelajaran pada 1970-an.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Noor Hayati Mohamed, dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Terdahulu, jenazah Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dikafankan dan disembahyangkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang.

Allahyarham dilantik sebagai Pro Canselor UiTM pada 15 Disember 2002.

Allahyarham melanjutkan pengajian di University of Singapore, University of Reading, New Zealand Administrative Staff College dan Harvard Business School, sebelum bergelar Doktor Falsafah (PhD) apabila tamat pengajian di University of East London.

Selain Ketua Pengarah Pendidikan, Allahyarham pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Perunding Pendidikan kepada Bank Negara.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai diplomat di Maghribi, Filipina dan Thailand.