--> Skip to main content

Akses perbankan pedalaman Sabah, Sarawak diberi perhatian

KOTA KINABALU: Usaha menambah baik akses perkhidmatan perbankan di pedalaman Sabah dan Sarawak akan menjadi titik tolak kepada penyelesaian menyeluruh terhadap kesulitan masyarakat di kawasan itu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata permasalahan itu antara fokus yang dibincangkan dalam majlis dialog bersama Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak di Parlimen, semalam.

Beliau berkata, disebabkan saiz Sarawak dan Sabah yang luas, isu berkaitan akses perbankan seperti perkhidmatan ATM dan mesin tunai deposit sering menjadi rungutan dalam kalangan penduduk kawasan berkenaan.

"Mereka terpaksa bergerak ratusan kilometer semata-mata mendapatkan perkhidmatan bank hanya untuk mengeluarkan jumlah wang yang sedikit .

"Sebagai contoh, ada antara mereka terpaksa mengembara selama beberapa jam dengan bot atau perahu ke Belaga (Sarawak) tetapi apabila tiba, ATM rosak atau perkhidmatan di luar talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim turut memberi contoh Baram dan Pulau Banggi di Kudat yang tidak mempunyai perkhidmatan perbankan asas.

Beliau berkata, penduduk di daerah baru Sarawak Long Lemah di Baram misalnya memiliki 80,000 penduduk tetapi tiada ada kemudahan perbankan, ATM atau mesin deposit tunai.

"Sama juga halnya dengan daerah Kudat iaitu Pulau Banggi, Sabah yang memiliki 15,000 orang penduduk.

"Sekiranya ada kemudahan perbankan ia bukan sahaja menyelesaikan masalah dan kesusahan rakyat tetapi yang lebih penting ialah dapat meningkatkan aliran tunai di daerah itu.

"Ia juga akan mampu merancakkan sektor peruncitan setempat dan meningkatkan wang bertukar tangan serta kesan gandaan ekonomi.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan pembangunan seimbang bandar dan luar bandar," katanya.

Abdul Rahim turut berkata Bank Negara juga bercadang mengemukakan usul untuk melantik Pos Malaysia Berhad sebagai ejen bank serta menempatkan mesin guna sama Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) bagi menyelesaikan masalah terbabit.