--> Skip to main content

Ajal selepas pulang dari masjid

PEMUDA yang baru pulang dari masjid maut dilanggar kereta di Kilometer 30 Jalan Pantai arah Kuala Terengganu-Kota Bharu berdekatan Kampung Mengabang Lekor, Kuala Nerus, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa, Mohamad Ammar Lukman Roslan, 23, yang membantu bapanya menjual ikan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari masjid selepas selesai menunaikan solat Asar.

Ketika dalam perjalanan pulang, sebuah Perodua Bezza dipandu wanita berusia 60 tahun tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar mangsa.

Akibat pelanggaran itu, mangsa melambung di bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Pemandu kereta bersama dua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.