--> Skip to main content

Ahli DAP Pekan Penampang sertai PBS

PENAMPANG: Semua ahli parti DAP Pekan Penampang dilaporkan keluar parti dan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS), semalam.

Bekas ketua cawangan DAP Pekan Penampang, Raymond Lin berkata, tindakan itu dibuat susulan kekecewaan mereka terhadap pimpinan tertinggi parti.

"Kami berasa tidak dihargai walaupun lama bersama DAP. Malah, DAP gagal menunaikan janji serta banyak pusingan 'U' membuatkan kami hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti.

"Malah, banyak janji yang tidak ditunaikan termasuk kegagalan menyelesaikan masalah banjir di Penampang, pusingan U mengenai isu empangan Kaiduan dan sokongan kepimpinan parti DAP terhadap pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang menimbulkan kontroversi," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Borang keahlian menyertai PBS diserahkan Lin kepada Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Malleh di ibu pejabat PBS di Donggongon, baru-baru ini.

Sementara itu, Radin berkata PBS adalah parti yang merangkumi berbilang kaum dan parti untuk rakyat Sabah.

"Saya percaya dengan penambahan ahli pada hari ini, kita akan dapat terus berjuang dan memastikan suara kita didengari," katanya.