--> Skip to main content

AFFINBANK lancar AFFIN Duo untuk golongan muda

-pix -

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd (AFFINBANK) melancarkan AFFIN Duo, produk baharu dwi-kad kredit yang direka khas untuk golongan muda era digital masa kini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Razly Abdullah Wan Ali, berkata produk berkenaan disesuaikan dengan keadaan semasa golongan yang berpendapatan minimum RM2,000 sebulan, yang memberikan pulangan tunai sehingga tiga peratus bagi transaksi digital dan tiga kali ganda mata ganjaran AFFIN untuk perbelanjaan harian.

"Produk dwi-kad kredit AFFIN Duo merangkumi satu kad kredit AFFINBANK Visa Cash Back dan AFFINBANK Mastercard Rewards. Pelanggan akan mendapat manfaat pulangan tunai untuk setiap transaksi digital seperti pembelian barang dalam talian, tambah nilai e-dompet dan juga pembayaran bil secara automatik misalnya untuk pembayaran premium insurans, bil-bil utiliti atau langganan digital seperti Netflix.

"AFFIN Duo diperkenalkan bukan hanya sebagai sebuah produk kad kredit semata-mata di pasaran, tetapi sebagai penghargaan kepada segmen pelanggan yang semakin berkembang dalam pasaran runcit iaitu golongan muda, eksekutif muda dan keluarga muda yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

"Ia sangat sesuai diperkenalkan pada masa ini seiring dengan galakan norma baharu yang telah menampakkan peningkatan dalam perbelanjaan era digital masa kini, di samping memenuhi permintaan pengguna yang meningkat dari segi kemudahan dan fleksibiliti dalam berbelanja," katanya pada media selepas melancarkan AFFIN Duo di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Negara (Malaysia) Visa, Ng Kong Boon berkata, Di Malaysia, data syarikat itu menunjukkan bahawa satu daripada lapan pemegang kad Visa yang aktif yang tidak menggunakan perkhidmatan e-dagang tahun lalu, telah membuat pembelian pertama mereka secara dalam talian pada tahun ini.

Tambahan pula, katanya, urus niaga dan perbelanjaan e-dagang oleh pemegang kad Visa di Malaysia terus meningkat setiap tahun.

"Arah aliran ini menunjukkan bahawa pengguna di Malaysia mula beralih ke saluran e-dagang untuk melakukan pembelian barangan mereka dan arah aliran penggunaan saluran digital semakin meningkat disebabkan oleh keadaan pandemik pada masa ini.

"Oleh itu, kami percaya pelancaran kad ini sangat tepat pada masanya," katanya.

Selaras dengan pengenalan produk AFFIN Duo di pasaran, pemegang kad juga dapat menyertai kempen "Mohon dan Menang" dari 28 Ogos sehingga 28 Februari 2021 dan berpeluang untuk memenangi sebuah hadiah utama sebuah Kereta Eksklusif Proton dengan membuat perbelanjaan runcit minimum sebanyak RM100 dalam masa 45 hari dari tarikh kelulusan kad.

Pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut serta ingin memohon untuk produk AFFIN Duo boleh layari laman sesawang Bank di www.affinbank.com.my, platform Perbankan Internet Runcit (affinOnline) di www.affinonline.com, atau kunjungi mana-mana cawangan AFFINBANK yang berdekatan.