--> Skip to main content

ADUN Slim bakal diketahui hari ini

SLIM RIVER: Wakil rakyat baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bakal diketahui hari ini selepas 22,794 pemilih layak mengundi akan membuat penentuan siapa calon pilihan mereka kali ini.

Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim dibuka jam 8 pagi ini, dilaksanakan menerusi kebiasaan baharu, dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengurangkan impak penularan COVID-19.

Sebanyak 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan 54 saluran mengundi dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh kawasan DUN berkenaan.

Persaingan pada PRK DUN Slim membabitkan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas, S Santharasekaran yang menggunakan simbol buku serta Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dengan simbol pokok.

Penyertaan Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Uniknya pada PRK DUN Slim ini, ketiga-tiga calon bukan pengundi berdaftar di DUN Slim. Mohd Zaidi dan Santharasekaran adalah pengundi di DUN Behrang, jiran kepada DUN Slim dalam Parlimen Tanjung Malim.

Selain DUN Slim dan Behrang, satu lagi DUN yang terletak dibawah Parlimen Tanjung Malim adalah DUN Sungkai.

Faktor cuaca sedikit sebanyak akan membantu kelancaran proses pengundian sementara SPR juga menasihatkan pengundi keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berharap pengundi keluar mengundi pada PRK DUN Slim mencapai 85 peratus di sebalik jangkaan 70 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing, hari ini.

Sebaik PDM ditutup jam 5.30 petang nanti, petugas SPR akan memulakan proses kiraan undi di lokasi pengundian berlangsung sambil disaksikan wakil calon bertanding, sebelum peti yang sudah siap dikira akan dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim.

Semua peti undi termasuk pengundian awal pada 25 Ogos lalu yang disimpan di IPD Muallim, akan melalui proses kiraan petang ini, dijadual berlangsung di IPD Muallim.

Selepas semua peti undi tiba di pusat penjumlahan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris akan mengumumkan keputusan rasmi PRK DUN Slim yang dijangka sekitar jam 9 malam ini.