--> Skip to main content

Adam Norrodin bermula daripada petak ketujuh

KUALA LUMPUR: Pelumba negara di Kejuaraan Moto2 Eropah CEV, Adam Norrodin mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila bangkit daripada kemalangan pada sesi latihan bebas semalam dengan bakal memulakan perlumbaan Pusingan 3 musim 2020 daripada petak ketujuh, esok.

Pelumba pasukan Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu mencatat masa sepusingan terbaiknya 1 minit 43.974 saat pada sesi kelayakan di Litar Jerez, Sepanyol hari ini untuk membenarkan dirinya memulakan perlumbaan daripada petak ketujuh daripada 24 pelumba.

"Syukur alhamdulillah, sebab hari ini fizikal saya berada dalam keadaan baik terutama selepas kemalangan semalam," katanya. "Alhamdulillah, saya tidak hilang rentak kelajuan pada sesi kelayakan hari ini - sesuatu yang saya bimbangkan semalam.

"Walaupun pada pagi tadi (sesi kelayakan 1), saya terlalu memberi fokus kepada tunggangan supaya tidak hilang rentak kelajuan ketika menunggang. Pada awal kelayakan 1, agak susah sikit kerana masih ada sakit-sakit tetapi ia tidak terlalu menjejaskan tunggangan.

"Pada penghujung kelayakan 1, saya dapat memperbaiki catatan sepusingan daripada semalam. Itu sesuatu yang positif tetapi masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Alhamdulillah, saya dapat perbetulkan di kelayakan 2 tetapi masih tak mencukupi untuk merapatkan jurang (dengan kelompok depan).

"Apapun, untuk perlumbaan esok, saya rasa sangat yakin dan akan cuba untuk berada dalam kelompok depan dan bersaing untuk mencapai sasaran."

Selepas dua pusingan awal di Portugal, Adam atau dikenali dengan julukan 'Torete' kini berada di tangga kesembilan keseluruhan dengan 26 mata, 74 mata di belakang pendahulu carta Moto2 dari Itali, Yari Montella.

Pelumba berusia 22 tahun itu juga hanya ketinggalan 11 mata di belakang penghuni tangga kelima dari Jepun, Taiga Hada.

Adam diletakkan sasaran untuk menamatkan kempen 2020 dengan berada di dalam kelompok lima terbaik.