--> Skip to main content

Abseiling kibar Jalur Gemilang

PELBAGAI cara dipamerkan bagi menzahirkan jiwa patriotisme kepada negara termasuk keberanian 22 peserta membawa Jalur Gemilang menuruni dinding Air Terjun Tirai di Wang Perah, Jitra, baru-baru ini.

Aktiviti 'Abseiling Merdeka Air Terjun Tirai' itu dilakukan sebagai simbolik kepada semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63, Isnin ini.

Presiden Persatuan Sukan Mendaki Kedah (HACCK) Mohd Nazrilazdin Jamaludin berkata, bagi melakukan aktiviti itu, peserta menaiki pacuan empat roda selama 45 minit sebelum berjalan kaki menerusi jalur pendakian sejauh lima kilometer ke kawasan air terjun.

Katanya, bagi menaiki dinding air terjun, peserta perlu mendaki selama 20 minit sebelum melakukan aktiviti abseiling secara berperingkat.

"Dengan memakai kelengkapan keselamatan, peserta menuruni dinding air terjun setinggi 50 meter itu dengan membawa Jalur Gemilang.

"Walaupun pada mulanya ramai yang mahu menarik diri kerana tidak yakin dan gayat, namun mereka tetap menggagahkan diri demi mengibarkan bendera Malaysia.

"Kita berdepan halangan kerana lokasi air terjun agak jauh, batuan licin dan berlumut selain serangan pacat, namun semuanya berjaya diatasi," katanya.

Sementara itu, peserta Norhidayah Anuar, 41, berkata ia adalah kali pertama dia mengibarkan Jalur Gemilang menerusi aktiviti ekstrem dengan perasaan yang bercampur baur.

"Perasaan bangga menjadi anak Malaysia, malah semangat dan kesungguhan peserta menuruni dinding air terjun amat mengagumkan.

"Aktiviti ini bukan sahaja dapat memberi kepuasan kepada peserta, tetapi mampu memperkenalkan lokasi pelancongan ekstrem dan mencabar adrenalin di negeri ini," katanya.