--> Skip to main content

'Lebih 99.8% semenanjung dapat elektrik'

DAHULUNYA, ia lebih dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) selepas bermula pada 1949 sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB).

Mengorak langkah, syarikat utiliti terpenting negara yang kini gah dengan nama Tenaga Nasional Bhd (TNB) terus mengiringi kemajuan bukan sahaja sebagai pembekal tenaga, malah termasuk memberi khidmat kepada semua masyarakat di seluruh negara.

TNB komited dalam membangunkan Malaysia melalui tanggungjawab sosial sosial (CSR) membabitkan 35,000 warganya termasuk subsidiari.

Kafe Ahad kali ini mewawancara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB DATUK SERI AMIR HAMZAH AZIZAN yang mempunyai visi menjadikan entiti korporat ini sebagai model ikutan kepada syarikat gergasi serta syarikat lain.

Ikuti wawancara antara Pengarang Berita Harian Metro SYARIFAH NOR DAYANA SYED BAKRI, wartawan AMIR ABD HAMID, jurugambar ASYRAF HAMZAH dan jurukamera, MOHD DZUL HIJRI ZAINAL ABIDIN bersama beliau.

TNB dilihat sebagai syarikat gergasi yang dekat di hati masyarakat. Komen?

Alhamdulillah. Pada 31 Ogos ini usia kita 71 tahun. Ada banyak perkara yang kita nampak perkembangannya di Malaysia. Jika dilihat sekarang, kita sudah sampai tahap di Semenanjung Malaysia ini, lebih 99.8 peratus sudah mendapat kemudahan elektrik.

Kebolehpercayaan dalam membekalkan tenaga juga mencapai tahap begitu tinggi hingga kita dibandingkan dengan negara maju.

Boleh dikatakan, kita sudah sama taraf dengan negara maju.

Tiada gangguan elektrik. Insya-Allah, ada banyak lagi perkara yang kita akan buat dan kembangkan dalam bahagian perniagaan.

Tetapi, selain daripada berniaga, TNB ada banyak perkara yang boleh dilakukan, kita percaya ia penting sebagai satu entiti yang besar di Malaysia.

Jika TNB fokus kepada perniagaan sahaja maka kita kurang menyumbang semula kepada negara.

Berkaitan alam sekitar, tahun lalu, TNB membelanjakan kira-kira RM5.7 juta dengan RM1.87 juta dibelanjakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) memulihara koloni kelip-kelip. Apakah pandemik Covid-19 mempengaruhi projek ini?

Kita faham industri banyak yang terjejas musim Covid-19.

Kelip-kelip adalah simbol yang kita pilih dalam bahagian alam sekitar kerana ia boleh mewakili TNB.

Ia kelip-kelip, membawa cahaya. Sebab itu kita pakai sebagai simbol untuk TNB.

Projek kelip-kelip ini bukan sahaja nak jaga serangga itu, tetapi kita nak memperkembangkan kepada komuniti atau masyarakat setempat.

Di Kuala Selangor, kita buat beberapa perkara. Kita lakukan penyelidikan macam mana nak menjaga kelip-kelip ini.

Apakah patut dibuat untuk persekitarannya dan perkara yang boleh membaiki eko-sistem supaya kelip-kelip itu boleh berkembang.

Daripada segi itu, kita tengok yang kelip-kelip ini bergantung kepada pokok khusus iaitu berembang.

Lebih banyak pokok ini ada lebih banyak kelip-kelip ada.

Apa sumbangan TNB dalam sektor pendidikan?

CSR dalam pendidikan adalah yang terbesar TNB lakukan.

Sumbangan kita paling besar ialah Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Sebelum krisis kewangan Asia, Malaysia hantar ramai penuntut ke luar negara.

Jadi, kerajaan rasa, macam mana kita boleh perkembangkan tapak kita di Malaysia atau banyakkan lagi institusi pendidikan di Malaysia.

Tak payah hantar ramai sangat ke luar negara. Jadi kerajaan menyeru kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menolong dalam sektor pendidikan.

Kita lihat, Uniten, Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) wujud pada masa yang sama.

Apa impian Datuk Seri hasil pelaburan pendidikan dan pembinaan modal insan menerusi YTN?

Ada dua perkara penting. Pertama, sebagai institusi di Malaysia yang kita kata korporat besar, saya harap kita boleh jadi 'role model' untuk korporat lain.

Kita menggalakkan korporat lain bukan sahaja ambil orang yang sudah lulus tetapi tolong bina orang (modal insan) daripada awal.

Jadi kita boleh menyumbang untuk perkembangan negara.

Itu aspirasi yang saya rasa penting kerana setiap korporat di Malaysia, ia berjaya sebab ia berada di Malaysia. Bagi baliklah sikit.

Kedua, saya berharap juga dengan apa yang kita buat ini, penuntut yang kita taja ini dapat meningkatkan taraf hidup.

Saya berharap juga bukan sahaja penutut berkaitan berjaya malah bantu adik-beradik, saudara-mara atau paling kurang pun, jadi simbol untuk dalam keluarga iaitu 'kalau betul-betul kerja kuat dapat kejayaan dan lebih baik boleh balas dan bagi balik'. Tolong ibu bapanya.

Kalau kita lihat balik di Malaysia, itulah cara yang kita buat pada 1970-an dan 1980-an.

Ramai penuntut ke luar negara dan kita ambil penuntut yang bukan sahaja pandai tetapi kita tengok yang ada kekurangan.

Contoh, budak Felda, budak kampung kita hantar ke luar negara, dia kembali menukar taraf hidup keluarga.

Jadi tak terhenti dalam ekonomi yang mereka ada (perangkap kemiskinan).

Saya harap dua perkara itu akan terjadi. Yang lain, bagi TNB, Insya-Allah, kerana kita dapat orang baik, kualiti akan bertambah kerana usaha mereka di dalam syarikat.

Berkenaan program Sekolah Amanah atau trust school?

Ini kita buat kerjasama dengan Yayasan Amir. Bukan nama saya, itu sudah masa Khazanah Nasional dahulu lagi.

Ia juga kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melonjakkan prestasi sekolah.

TNB menyumbang kepada Yayasan Amir dalam program yang ada supaya mereka mempunyai kapasiti kewangan.

Selain itu, menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN), dua tahun lalu kita tubuhkan My Brighter Future (MyBF) yang memfokuskan kepada golongan B40. Ada ramai antara mereka yang memang ada keupayaan cuma mungkin oleh kerana tak cukup kewangan, mereka tak dapat melanjutkan pengajian.

Jadi dalam program ini, kita bagi apa yang kita panggil Dermasiswa.

Berapa nilai tajaan yang pelajar terima?

Ijazah adalah RM10,000 setahun sehingga habis program atau tempoh pengajian, jika empat tahun keseluruhannya berjumlah RM40,000.

Bagi diploma adalah RM9,000 setahun manakala RM6,600 setahun untuk peringkat sijil.

Di peringkat sekolah, ada peruntukan juga?

Kita ada cara lain seperti setiap tahun kita buat program Ceria Ke Sekolah.

Peruntukkan RM1 juta kita berikan bagi sumbangan perkakasan untuk pergi ke sekolah seperti beg, pakaian seragam dan kasut.

Ini memang tumpu kepada golongan B40.

Kita juga bantu murid dan pelajar yang mungkin tidak cukup duit, tetapi ada masalah penglihatan, kita bagi sokongan supaya dia dapat cermin mata baharu.

Berkaitan projek Baiti Jainati iaitu baiki atau membina semula rumah mereka yang memerlukan, masih diteruskan?

Itu usaha yang biasa kita buat. Setiap tahun kita cari sudut yang boleh kita kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau negeri untuk menentukan siapa layak mendapatnya.

Baiti Jainati dan Rumah Mesra Rakyat, kita bina dan juga baiki rumah yang sedia ada.

TNB sudah bina lebih 1,200 rumah. Sejak dimulakan, 874 rumah dibuat untuk Baiti Jainati. Untuk program Rumah Mesra Rakyat, 228 rumah.

Nak buat banyak memang terikatlah (kewangan) sebab setiap rumah yang kita buat, kita bagi dalam RM50,000.

Jadi kena bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya kita dapat fokus yang perlu.