--> Skip to main content

769 penagih dan pengedar dadah ditahan

SERAMAI 769 penagih dan pengedar dadah ditahan di Bukit Malut, Langkawi, sepanjang tujuh bulan tahun ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ia adalah tangkapan terbesar dilakukan pihaknya dan operasi itu akan terus dilakukan bagi membanteras kegiatan terbabit di lokasi berkenaan.

"Selain tangkapan, kita juga dalam perancangan untuk mengadakan program kesedaran dadah di Bukit Malut bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat melaluinya.

"Bukit Malut adalah kawasan rintis dan kerap dilakukan operasi di situ.

"Saya juga mohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan dadah di kawasan masing-masing tidak kira sama ada di Langkawi atau daerah lain di negeri ini," katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut beliau, setiap aduan disampaikan orang ramai akan diambil tindakan sekiranya maklumat itu tepat.

"Orang ramai boleh hantar surat terus kepada saya, tulis nama saya pada surat aduan itu untuk diambil perhatian.

"Kerjasama orang ramai mampu membantu kami mengambil tindakan membanteras kegiatan ini," katanya.