--> Skip to main content

56 anak muda akan sertai sidang DUN Selangor

SERAMAI 56 anak muda berusia antara 15 tahun hingga 35 tahun akan diberi pendedahan politik di peringkat awal menerusi Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor.

Ia akan diadakan secara dalam talian pada 3 Oktober depan, sekali gus menjadikan Selangor negeri pertama yang melaksanakan program seumpama itu.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata, program julung kali diadakan itu akan membabitkan belia luar bandar, orang kurang upaya (OKU), Orang Asli serta golongan B40.

"Mutakhir ini politik negara diwarnai pelbagai insiden menyebabkan sesetengah anak muda kurang minat, sangsi, was-was dengan politik hari ini, sebab itu kita ambil inisiatif ini.

"Ia bertujuan memberikan pendedahan awal bagi proses penggubalan undang-undang sama ada di peringkat tempatan atau kebangsaan, serta merapatkan jurang mereka dengan wakil rakyat, memahami peranan dan tanggungjawab seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Mereka akan diberikan peluang memahami prosiding sebenar sebagai Adun dalam sidang dewan negeri selain mencadang dan membalas usul khususnya yang memberi impak kepada golongan muda," katanya dalam sidang media di SUK Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Ng berkata, kumpulan anak muda itu akan mewakili setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dan berkemungkinan mengikut komposisi kerajaan dan pembangkang yang ada di Selangor.

"Setakat ini, kita sudah menerima 316 permohonan dan saya menyeru anak-anak muda di seluruh Selangor merebut peluang menyertai program ini.

"Permohonan dibuka dalam tempoh dua minggu mulai 21 Ogos hingga 4 September depan," katanya.

Menurutnya, ia boleh dilakukan secara dalam talian di Facebook, Instagram dan Twitter: @PAMSVirtual atau portal rasmi Dewan Negeri Selangor, dewan.selangor.gov.my sebelum jam 5 petang 4 September.

Beliau berkata, antara persediaan awal yang dilakukan termasuk raptai, penerangan kepada peserta terpilih kerana persidangan itu perlu mengikut peraturan tetap Dewan sebagaimana persidangan sebenar.