--> Skip to main content

47 sekolah di Segamat dapat alat pengesan suhu digital

SEGAMAT: Sebanyak 47 sekolah di Segamat akan dilengkapi dengan alat pengesahan wajah automatik dan imbasan suhu badan digital, sejajar usaha mengelak penularan wabak COVID-19 di sekolah kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, berkata alat digital itu akan beroperasi serentak dalam mengesan wajah, merekod suhu badan, memadankan data sekolah pelajar dan menyimpan maklumat harian, sekali gus memudahkan rujukan serta tugas guru dan kakitangan sekolah.

Santhara yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, setakat ini 20 sekolah membabitkan kira-kira 39,000 pelajar sudah memanfaatkan dan menggunakan sistem mudah alih berharga RM6,000 seunit itu.

"Pemasangan dilakukan secara dua fasa dengan 27 sekolah masih menunggu untuk pemasangan alatan berkenaan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Semua sekolah akan menerima dua atau tiga alat berkenaan, bergantung kepada jumlah pelajar bagi mempercepatkan proses pemeriksaan.

"Saya berharap kelengkapan alat pengesan digital ini bukan sahaja dapat mencegah penularan wabak COVID-19 di sekolah di Segamat, tetapi turut memudahkan tugas guru membuat pemantauan dan pemeriksaan harian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Tinggi Segamat, Rohaya Md Zain, yang menerima alatan digital berkenaan berkata, warga sekolah berasa lega kerana ia memudahkan pemantauan guru.

"Sebelum ini, guru memeriksa setiap pelajar secara fizikal dalam mengambil butiran dan mengawasi pelajar mengikut prosedur standard operasi (SOP) Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

"Proses automasi baharu ini meringankan beban guru dan memudahkan pengoperasian SOP COVID-19 di sekolah kami, " katanya.

Pengurus Labquip (M) Sdn Bhd, Jaya Prakash Rao, yang mengedarkan alat digital berkenaan berkata, sistem berkenaan menggunakan skrin HD dengan ketepatan suhu sehingga 0.3 darjah Celsius.

"Ia akan mengurangkan kesilapan manusia dan beban tugas guru kerana data yang direkod tepat mengikut pelajar secara individu," katanya.