--> Skip to main content

45 polis cedera dalam insiden bantah larangan COVID-19

BERLIN: Seramai 45 pegawai polis cedera dalam insiden tunjuk perasaan di Berlin yang antaranya didalangi peserta gerakan menentang pelbagai larangan bagi mengekang COVID-19.

Susulan insiden terbabit, seramai 133 individu yang didapati terbabit dalam gerakan penentangan 'hari kebebasan' itu ditahan polis.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan polis, kesemua mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan, termasuk menghalang tugas pihak berkuasa, menjejaskan keamanan dan penggunaan simbol tidak berperlembagaan.

Berdasarkan laporan semasa, gerakan demonstrasi 'hari kebebasan' yang tercetus pada hujung minggu dan disertai kira-kira 20,000 orang itu menyaksikan tiga pegawai polis terpaksa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Meskipun kes COVID-19 masih menular di ibu kota Jerman itu, majoriti peserta tunjuk perasaan berkenaan dilihat tidak memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal 1.5 meter sepanjang terbabit dalam gerakan berkenaan.

Perhimpunan besar-besaran yang berlaku di Brandenburg Gate itu menyaksikan peserta perhimpunan berarak sambil melaungkan 'kami ialah gelombang kedua', selain mendakwa pandemik COVID-19 sebagai 'teori konspirasi terbesar'.

Walaupun pasukan polis giat mengarahkan peserta tunjuk perasaan untuk bersurai lewat tengah hari tadi, ratusan individu dilihat langsung tidak berganjak dari Brandenburg Gate.

Menggunakan peruntukan sedia ada, polis kemudian memulakan prosiding perundangan terhadap pihak penganjur selepas mereka didakwa tidak menghormati garis panduan kebersihan virus.

Dalam demonstrasi berasingan yang tercetus di selatan daerah Neukoelln, peserta tunjuk perasaan bertindak melempar batu ke arah pegawai polis, selain membaling mercun dan merosakkan dua kenderaan polis serta sebuah kenderaan milik pejabat parti tempatan.

Ketika cuba meleraikan peserta tunjuk perasaan, beberapa pegawai polis disahkan mengalami kecederaan, termasuk tiga pegawai yang terpaksa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan selepas terkena serpihan kaca di muka.

Penugasan membabitkan 1,100 pegawai polis itu menyaksikan tangkapan turut dibuat terhadap peserta tunjuk perasaan yang terbabit dalam perhimpunan kecil-kecilan dan tidak rasmi.

Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn, berkata pihak berkuasa kini bimbang sekiranya berlaku peningkatan kes jangkitan susulan perhimpunan tunjuk perasan berkenaan, meskipun jumlah positif COVID-19 di negara terbabit masih rendah.

"Ya, demonstrasi sepatutnya dibenarkan ketika COVID-19, tetapi bukan dengan cara ini.

"Penjarakan fizikal, garis panduan kebersihan dan pelitup muka berfungsi untuk melindungi kita semua, jadi kita harus saling menghormati," katanya. - AFP