--> Skip to main content

44 direman, 242 dikompaun ingkar PKP

SERAMAI 286 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 44 individu direman manakala 242 individu pula dikenakan kompaun.

Menurutnya, 34 individu ditahan kerana gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk, premis beroperasi lebih masa (4), tidak memakai pelitup muka (35) serta aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (213).

"Polis turut mengadakan 65 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 19,355 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya di lorong-lorong tikus, PDRM menahan seorang warga asing kerana kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga 16 Ogos lalu, seramai 12,063 individu sudah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 61 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Kedah, dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, seramai 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 4,886 individu sudah discaj dan dibenarkan pulang.

"Mereka pulang dari 11 negara iaitu Bangladesh, Singapura, Iran, UAE, Qatar, Australia, Filipina, Turki, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia," katanya.