--> Skip to main content

4,151 kes muflis separuh pertama 2020

SERAMAI 4,151 kes muflis dicatatkan pada separuh pertama tahun ini dan dijangkakan jumlah itu tidak akan melebihi 10,000 sehingga Disember.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pada 2016, seramai 19,588 diisytiharkan muflis, 2017 (18,827), 2018 (16,482) dan 2019 (12,051).

Katanya, ia menunjukkan penurunan sebanyak 34 peratus dalam tempoh dua tahun iaitu dari 2017 hingga 2019.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, beliau berkata, kerajaan sudah membuat pindaan terhadap 58 perkara membabitkan semua kepentingan rakyat antaranya pengecualian setem cukai pendapatan.

"Daripada 58 perkara yang diambil tindakan, 24 daripadanya adalah berkaitan dengan ekonomi.

"Kerajaan sudah mengambil langkah untuk mewujudkan RUU ini iaitu seawal April dan Mei lalu.

"Namun demikian untuk menjadikan akta ini efektif, perlu ada segala perancangan perbincangan dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dan yang terkesan oleh kerana ia langkah sementara mengurangkan kesan Covid-19," katanya.