--> Skip to main content

4 jam cemas terperangkap di tengah kepala air

PERMAISURI: Empat beradik melalui detik cemas apabila terperangkap hampir empat jam di atas batu di tengah sungai ketika fenomena kepala air berlaku di kawasan Hutan Lipur Lata Payung, di sini, malam semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika empat beradik yang tinggal di Kuantan, Pahang itu pulang bercuti sempena Aidiladha dan mengikuti bapa saudara mereka memancing serta menjala ikan di kawasan rekreasi itu.

Selain Mohd Hafiez Alias, 28, tiga lagi yang terperangkap ialah adiknya, Siti Nur Shuhada, 26; Nurashima Alias, 22; serta Muhammad Hashim Alias, 18.

Menceritakan kejadian itu, Nur Shuhada berkata ketika menyeberangi sungai arus tiba-tiba semakin kuat dan membawa bersama kayu hanyut.

Katanya, saiz sungai yang pada mulanya hanya sekitar 100 meter bertukar menjadi semakin lebar sehingga 200 meter.

"Bapa saudara dan sepupu sempat menyeberangi sungai, manakala kami empat beradik terkandas. Kami terperangkap atas batu hampir empat jam dalam keadaan masing-masing menahan kesejukan akibat hujan.

"Nasib baik abang (Mohd Hafiez) bawa telefon bimbit yang diletakkan dalam beg kalis air dan sempat menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Nur Shuhada berkata, ia kali pertama mereka empat beradik ke kawasan hutan lipur berkenaan.

"Saya bersyukur kami semua selamat walaupun abang mengalami kecederaan ringan pada kaki," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Penolong Penguasa Bomba Zull Azman Jamaludin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.22 malam, sebelum 14 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kita membawa keluar semua mangsa dengan kaedah 'main line' yang mana anggota mengikat tali pada batang pokok merentasi sungai dan mangsa yang memakai jaket keselamatan diiringi anggota bomba untuk menyeberangi sungai," katanya.

Zul Azman berkata, bomba menghadapi kesukaran membawa keluar mangsa kerana keadaan air sungai yang laju dan paras air juga tinggi.

Operasi menyelamat mangsa selesai kira-kira jam 10 malam tadi.