--> Skip to main content

4 ditahan tebang kayu bakau secara haram

TINDAKAN empat lelaki warga tempatan menebang kayu bakau secara haram di sekitar Pulau Carey, Kuala Langat dekat Pelabuhan Klang membawa padah apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, mereka ditahan di Jeti Sungai Kembong, Pulau Indah, di sini, pada 8 malam tadi.

"Mereka disyaki terbabit dalam aktiviti penebangan kayu bakau di sekitar Pulau Carey, untuk dijual di dalam pasaran negara.

"Ketika tangkapan dibuat, polis mendapati sebahagian kayu bakau itu dilonggokkan di daratan berhampiran jeti, dan di dalam bot.

"Polis difahamkan ketika itu mereka sedang dalam proses memindahkan kayu bakau ke daratan dari dalam bot," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulafendy berkata, turut dirampas 200 batang kayu bakau dan sebuah bot berserta enjin.

"Secara keseluruhan, anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM20,000.

"Suspek yang berumur 28 tahun hingga 53 tahun dan rampasan dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313)," katanya.

Beliau juga menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.