--> Skip to main content

4 anggota polis tak mengaku salah rompak guru

EMPAT anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merompak RM8,550 daripada seorang guru lelaki sekolah swasta sehingga menyebabkan kecederaan mangsa, tahun lalu.

Syazuwan Nik Mamat ,31, Muhammad Bazil Rosly ,31, Mohd Masruz Rahmat Masuhut ,28, dan Mcallister Nicholl Helbron, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh yang masing-masing berpangkat koperal dan lans koperal itu didakwa melakukan rompak berkumpulan terhadap A.S James Anthony, 47, di tempat letak kereta di Pangsapuri Berembang Indah, Wangsa Maju pada 4 pagi, 4 Mei 2019.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri manakala semua tertuduh diwakili peguam Akmal Jusof.