--> Skip to main content

29 pengunjung pub dikompaun RM1,000

KESERONOKAN 29 pengunjung berhibur di sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, terbantut apabila premis berkenaan diserbu pihak polis, awal pagi kelmarin.

Dalam operasi jam 1.20 pagi, seramai 20 lelaki dan sembilan wanita berusia 21 hingga 48 tahun ditahan untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, kesemua mereka ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat berada dalam premis berkenaan melebihi had masa ditetapkan.

"Polis turut menahan lelaki berusia 37 tahun dipercayai pengurus premis bersama seorang lelaki warga Bangladesh serta tiga wanita warga Filipina berusia 33 hingga 52 tahun disyaki pekerja pub itu.

"Siasatan lanjut juga mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 4 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Katanya, kesemua 29 pengunjung pub terbabit dikompaun RM1,000 setiap seorang mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Empat warga asing berkenaan pula direman selama 14 hari bermula kelmarin hingga 4 September ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan mereka yang mempunyai maklumat kejadian jenayah diminta menghubungi talian 03-22979222.