--> Skip to main content

2,500 kes jenayah e-dagang sepanjang PKP, kerugian RM103.8 juta

DEWAN Rakyat hari ini diberitahu jenayah e-dagang mencatatkan kerugian sebanyak RM103.8 juta membabitkan 2,500 kes sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 4 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, jenayah e-dagang yang direkodkan sepanjang tempoh itu termasuk pinjaman tidak wujud sebanyak 1,582 kes; Macau Scam (1,001 kes); Love Scam (481 kes) dan penipuan sistem pesanan ringkas (91 kes).

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity Malaysia serta bank dan syarikat telekomunikasi sudah menubuhkan pasukan khas bagi menangani masalah ini.

"Selain itu, PDRM juga giat meningkatkan penguatkuasaan undang-undang selain meningkatkan pengoperasian dan tangkapan serta pertuduhan pesalah di mahkamah.

"Kempen kesedaran bersama masyarakat turut dijalankan bagi berkongsi maklumat selain seminar yang dilaksanakan kepada murid sekolah, penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS), badan bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail (BN-Kuala Krau) berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang mahu mengetahui jumlah kes sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif dalam tempoh PKP.

Selain itu, Abdul Azeez juga mahu mengetahui sejauh mana kaedah dan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengekang sindiket ini daripada terus berleluasa pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Ismail ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) memberi jaminan aplikasi MySejahtera selamat daripada kebocoran data kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, data yang diperoleh menerusi aplikasi MySejahtera itu dilindungi mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan ketirisan data selain daripada penggunaan aplikasi itu akan disiasat polis untuk tindakan lanjut.