--> Skip to main content

16 PATI baru mendarat ditahan di Sabak Bernam

SABAK BERNAM: Seramai 16 warga Indonesia yang baru mendarat di Pantai Bagan Nakhoda Omar ditahan polis dalam satu serbuan pada jam 8.15 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit selepas menerima maklumat orang awam.

Beliau berkata, PATI yang ditahan itu merangkumi sembilan lelaki dan tujuh wanita berusia di antara 25 hingga 40 tahun yang kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjanalan sah.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, pihaknya memohon kerjasama penduduk supaya sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, penyeludupan dan PATI supaya tindakan segera dapat diambil bagi membanteras kegiatan itu.