--> Skip to main content

14 maut ditembak militan Islam

KANO (NIGERIA): Seramai 14 individu maut dibunuh militan Islam di Tasik Chad, berhampiran sempadan Nigeria, selepas penduduk pekan itu memutuskan untuk menghentikan bekalan makanan kepada kumpulan pemberontak berkenaan, kata sumber keselamatan, pada Khamis.

Sumber berkata, militan Negara Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP) itu mendarat di kepulauan Bulgaram menggunakan bot laju, lewat Selasa lalu.

"Mereka tiba sekitar jam 6.30 petang (waktu tempatan) ketika orang ramai sedap bersiap untuk menunaikan solat Maghrib, dan menembak 14 ketua komuniti," kata sumber.

Beberapa mangsa ditembak di kediaman masing-masing manakala selebihnya ditembak di masjid, kata seorang lagi sumber sambil memetik jumlah kematian yang sama.

Serangan terbabit dilancarkan selepas penduduk pekan itu, yang juga logistik utama ISWAP, memutuskan untuk menghentikan bekalan makanan kepada militan berkenaan.

Baru-baru ini, barisan pemimpin tempatan mengadakan mesyuarat, dan melarang penduduk setempat menyalurkan bantuan makanan kepada pemberontak, bersandarkan nas al-Quran.

Tindakan itu dilihat pemberontak sebagai pengkhianatan kepada mereka dan sokongan kepada pihak berkuasa tempatan.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa serangan udara dilancarkan ke atas kubu kuat ISWAP, membabitkan jumlah kemusnahan dan kematian yang besar, kata sumber tentera dan pihak berkuasa tempatan. - AFP