--> Skip to main content

13 PATI ditahan dekat sempadan

TIGA wanita warga Thailand yang dijanjikan pekerjaan di negara ini oleh sindiket haram berputih mata apabila ditahan berhampiran batu sempadan (BS 34) Batu Maung, Durian Burung, dekat Alor Setar.

Mereka yang berusia antara 20-an dan 30-an itu ditahan ketika sedang bergerak di sebuah pondok di lokasi kejadian sebelum ditahan pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), awal pagi semalam.

ATM dalam kenyataannya berkata, berdasarkan maklumat, tiga wanita itu ditawarkan pekerjaan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

Operasi yang dikoordinasi oleh Markas Briged Keenam Infranri Malaysia (MK 6 Bgd) dengan kerjasama agensi keselamatan lain termasuk ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sementara itu, di lokasi berbeza, iaitu di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam, seramai 10 orang PATI terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita warga Myanmar ditahan berhampiran pagar sempadan oleh kumpulan tentera darat yang meronda di kawasan berkenaan pada tempoh sama.

Semua PATI itu dipercayai ditinggalkan oleh tekong di laluan utama Bukit Kayu Hitam dan berjalan kaki ke laluan yang ditetapkan oleh tekong untuk merentas sempadan dan pulang ke negara asal.

Jumlah keseluruhan 13 tangkapan dan barang rampasan di dua lokasi itu dianggarkan mencecah hampir RM27,938.

Ia diserahkan kepada Balai Polis Kota Putra dan Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.