--> Skip to main content

13 Pati baharu mendarat ditahan

SERAMAI 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan sebaik mendarat di Pantai Nibong Sebatang, Johor malam tadi.

Sembilan lelaki dan empat wanita berusia 21 hingga 41 tahun itu ditahan Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) jam 10.30 malam yang menjalankan Op Benteng di kawasan berkenaan.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan berkata, anggota Pos Pemerhati, Kompeni B daripada Batalion 1 RRD melihat sebuah bot pada jarak lebih kurang 500 meter dari Persisiran Pantai Nibong Sebatang, Johor dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, didapati bot itu mula merapat ke pesisir pantai dan hasil tindakan pantas anggota Pos Pemerhati, 12 Pati yang baru sahaja mendarat masuk ke Malaysia ditahan.

"Kemudiannya, atur gerak kumpulan Quick Reaction Force (QRF) serta bantuan daripada Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) berjaya mengesan seorang Pati yang bersembunyi di kawasan sekitar menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 13 orang.

"Antara yang dirampas adalah tujuh telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM560 dan Indonesia Rupiah 9,996,100 (RM 2,803) menjadikan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5,091," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mereka dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Pasukan turut melaporkan kejadian kepada Komander Sektor 8 National Task Force (NTF) yang kemudiannya mengatur gerak bot pemintas ke kawasan perairan untuk mengesan bot yang digunakan oleh tekong untuk membawa masuk Pati.

"Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai dan kesemua Pati diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19," katanya.