--> Skip to main content

1.2 tan sayuran dirampas

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis merampas 1.2 tan sayuran yang dibawa masuk secara tidak sah dari Thailand ke negara ini.

Ia dirampas di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, 3.30 petang kelmarin.

Pengarah MAQIS Perlis, Mohamad Arshad Bin Raffin berkata, dalam kejadian itu, sebuah lori dipandu lelaki berusia 40-an itu ditahan kerana membawa muatan daun limau purut dan ubi keladi.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori terbabit mendapati kesemua sayuran berkenaan tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh MAQIS.

"Pihak MAQIS menyita kesemua dagangan terbabit dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM1,249.

"Hasil soal siasat ke atas pemandu terbabit, dia mengaku hanya membawa muatan berkenaan dan kesemua berangan terbabit dimiliki oleh individu lain," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Arshad berkata, kompaun dikeluarkan ke atas pemilik barangan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita semua barangan itu dan lori terbabit.

"Kes disiasat bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011," katanya.

Dalam pada itu katanya, MAQIS ingin mengingatkan bahawa perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa suatu permit yang sah adalah satu kesalahan.

"Mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun," katanya.