--> Skip to main content

12 kes baharu

SEBANYAK 12 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 9,212 kes dengan jumlah kes 211 aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 10 daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan itu adalah berkaitan kes tempatan dan dua kes import.

Menurutnya, 10 kes tempatan itu membabitkan satu kes warganegara saringan bergejala di Selangor, empat kes warganegara Kluster Tawar, dua kes warganegara Kluster Sala di Kedah dan di Pulau Pinang tiga kes warganegara membabitkan Kluster Tawar.

"Sementara dua kes import itu bukan warganegara yang tiba dari luar negara.

"Terdapat lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 17 kes sudah pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,876 kes atau 96.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes," katanya.