--> Skip to main content

Wujud suruhanjaya pastikan teras Perlembagaan dipatuhi

Pelbagai suruhanjaya ditubuhkan sama ada untuk melaksanakan fungsi tertentu ditetapkan Perlembagaan Persekutuan atau untuk memelihara hak tertentu yang dijamin undang-undang.

Dewasa ini, kita melihat peningkatan kes dan insiden menunjukkan prinsip utama kepada Perlembagaan Persekutuan dipersoal.

Malah ada suara sumbang ingin menukarkannya dengan nilai baharu yang bertentangan aspirasi majoriti warganegara Malaysia.

Prinsip utama dimaksudkan di sini terangkum dalam dua peruntukan Perlembagaan Persekutuan, iaitu Perkara 38(4) dan Perkara 159(5).

Perkara 38(4) menyentuh kedudukan dan fungsi Majlis Raja-Raja sebagai identiti yang mendokong penubuhan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan serta kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua-ketua agama Islam dan kewajipan untuk memelihara ajaran Islam selaras tanggungjawab sebagai pemegang amanah kedaulatan mutlak milik Allah SWT, di bawah wilayah kekuasaan masing-masing juga keistimewaan kedudukan Raja-Raja Melayu menurut adat Melayu.

Perkara 159(5) pula terdiri daripada Perkara 10(4) berhubung kuasa Parlimen untuk mengadakan sekatan demi kepentingan ketenteraman awam; larangan perbuatan mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan berkenaan kewarganegaraan, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain dan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta prerogatif Pembesar-pembesar Memerintah Negeri Sembilan; kewarganegaraan; Majlis Raja-Raja; pengecualian imuniti ahli Parlimen; keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri; jaminan Persekutuan terhadap hak perlembagaan, keistimewaan dan pewarisan Raja dalam Perlembagaan negeri; pengecualian imuniti Ahli Dewan Undangan Negeri; bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa memprejudiskan penggunaan tulisan Jawi; kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain menurut Perlembagaan Persekutuan; dan Perkara 159(5) itu sendiri.

Selain di atas, Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah atau Sarawak, sekali gus menghormati semangat Persekutuan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Prinsip utama di atas adalah struktur teras Perlembagaan atau dalam bahasa Inggerisnya dipopularkan sebagai 'the basic structure of our Constitution'.

Menginsafi bahawa setiap struktur teras itu mempunyai kepentingannya tersendiri dalam pembinaan sebuah negara bangsa, maka selepas tercetusnya Peristiwa 13 Mei, Kerajaan Persekutuan menukilkan struktur teras berkenaan dalam lima prinsip Rukun Negara - Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Kedaulatan Undang-Undang, Keluhuran Perlembagaan serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Perkara 38(4), Perkara 159(5) dan Perkara 161E adalah struktur teras Perlembagaan Persekutuan kerana setiap satu daripadanya tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Pemaktuban kuasa khas Majlis Raja-Raja itu mengehadkan kuasa Parlimen, sekali gus menunjukkan prinsip kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan di Malaysia.

Pentafsiran mengenai struktur teras Perlembagaan Persekutuan perlulah berpaksikan kepada tiga peruntukan undang-undang berkenaan.

Penghayatan mengenai perkara di atas perlu diberi keutamaan segera agar tiada mana-mana warganegara Malaysia cuba mengasaskan identiti bangsa Malaysia di luar kerangka watannya berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, wujudnya keperluan mendesak bagi kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya berstatus seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) atau agensi persekutuan mahupun negeri untuk berfungsi seperti berikut:

Pertama, memperkasakan kajian yang menyentuh jati diri watan Malaysia, iaitu Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Kedua, menyebar luas fahaman yang betul tentang kenegaraan Malaysia dari aspek sejarah perundangan yang melatari struktur teras Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga, melestarikan prinsip undang-undang yang menyentuh kenegaraan seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keempat, menyampaikan pandangan dan mengusulkan pelan tindakan bersesuaian bagi pertimbangan kerajaan dalam bidang kajian dan pemantauan yang dilaksanakan.

Kelima, mengukuhkan perpaduan nasional berlandaskan jati diri watan bangsa Malaysia berprinsipkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Pewujudan entiti seperti dicadangkan di atas suatu kehendak di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mampu menyempitkan jurang perbezaan dalam isu kenegaraan dan memupuk kesetiaan sebenar kepada Malaysia.

Penyataan ini tidaklah keterlaluan kerana setiap warganegara perlu menumpahkan kesetiaan, begitu juga Ahli Parlimen dan Jemaah Menteri Malaysia.

Sumpah jawatan seperti dalam Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan menuntut setiap ahli pentadbiran negara, ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Sumpah dalam Jadual Keenam mengandungi lafaz, "Bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya".

Sumpah itu menuntut ketaatan dan kepatuhan pada Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkara yang sudah dijelaskan.

Justeru, amatlah diharapkan Kerajaan Persekutuan di bawah kekuasaan Yang di-Pertuan Agong dan pimpinan Perdana Menteri hari ini, sudi menimbangkan penubuhan sebuah suruhanjaya kedaulatan atau agensi yang boleh berfungsi untuk mencapai objektif yang dinyatakan di atas, demi memelihara kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan.

Penulis adalah Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis