--> Skip to main content

Wartawan Maghribi ditahan atas tuduhan rogol

RABAT: Seorang wartawan dan aktivis terkemuka di Maghribi ditahan untuk perbicaraan kes terhadap pertuduhan merogol dan menerima dana asing.

Menurut Kementerian Kehakiman menerusi kenyataannya, Omar Radi dipindahkan ke penjara Oukacha di Casablanca dan perbicaraan akan bermula pada 22 September depan.

Pihak pendakwaan memohon supaya hakim melihat kepada kesalahan berkaitan dengan serangan tidak senonoh dengan kekerasan dan pemerkosaan selepas mangsa melaporkan aduan.

Radi turut disiasat terhadap penerimaan dana dari parti asing dengan tujuan memporak perandakan keselamatan dalaman negara.

Kenyataan itu berkata, dia membentuk hubungan dengan ejen negara asing untuk menjejaskan kedudukan diplomatik Maghribi

Siasatan terhadap penerimaan dana asing oleh Radi akan bermula akhir Jun lalu, sehari selepas laporan daripada pihak Amnesty International yang mendakwa bahawa perisian yang dibangunkan oleh firma keselamatan Israel, Kumpulan NSO digunakan sebagai perisian pengintip di telefon bimbit Radi.

Pihak berkuasa Maghribi, bagaimanapun menggambarkan tuduhan Amnesty sebagai penuh prasangka.

Tertuduh disoal siasat pihak polis kehakiman berulang kali.

"Saya tidak pernah dan tidak akan berkhidmat untuk kuasa asing, saya bukan perisik atau dibayar oleh negara lain sebagai ejen, " katanya.

Sebelum sesi perbicaraannya hari ini, penyokong Radi mengeluarkan sebuah video, di mana dia menolak tuduhan itu dengan menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal dan ingin membalas dendam terhadap laporan Amnesty.

"Wartawan yang mengkritik pendekatan keselamatan di Maghribi adalah yang paling lemah terhadap pembalasan," katanya.

Pada Mac, aktivis berusia 33 tahun itu dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana mengkritik hakim namun ia ditangguhkan. - AFP