Skip to main content

Trio AHM teruja jumpa Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Mengagumi kewibawaan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengetuai misi mengekang penularan COVID-19, tiga penyampai KoolFM iaitu AG, Haiza Hanafi dan Muaz, akhirnya dapat bertentang mata dengan tokoh popular itu.

Tiga penyampai slot AHM KoolFM itu bertemu Dr Noor Hisham pada sesi libat urus di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, kelmarin.

Haiza cukup mengagumi tahap profesionalisme dan cara Dr Noor Hisham mengulas setiap pertanyaan media dengan tenang.

"Melalui sesi temubual atau sidang media yang ditonton di televisyen (TV) atau media sosial, Dr Noor Hisham tenang menjawab soalan... Paling hebat, beliau tidak merujuk teks. Semua ada dalam kepalanya dan menjawab dengan penuh yakin.

Muaz, Haiza dan AG teruja bertemu Dr Noor Hisham di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, kelmarin. Foto Ihsan KoolFM Muaz, Haiza dan AG teruja bertemu Dr Noor Hisham di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, kelmarin. Foto Ihsan KoolFM

"Kelmarin, saya dapat lihat sendiri situasi sama di depan mata. Saya, AG dan Muaz selama ini teruja hendak berjumpa Dr Noor Hisham dan bertanya soalan kepadanya," katanya kepada BH Online.

Haiza berkata, dia sempat bertanya kepada Dr Noor Hisham apakah beliau memberi keizinan untuk mereka menerbitkan dokumentari khas mengenai dirinya.

"Saya yakin ramai yang ingin tahu lebih lanjut mengenai latar belakang dirinya. Beliau adiwira kebanggaan kita. Namun, apabila soalan itu diajukan, beliau hanya membalas dengan senyuman.

"Saya juga bertanya lebih terperinci mengenai pasukan yang diketuainya termasuk isu membabitkan prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka sejak Disember lalu.

"Dr Noor Hisham sedia bercerita lanjut dan memperkenalkan pasukan kerjanya," katanya.

Haiza berkata, AG sempat bertanya Dr Noor Hisham mengenai pelbagai isu lain seperti perhimpunan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, Selasa lalu, yang dikhuatiri memungkinkan wujudnya kluster baharu COVID-19.

"Dr Noor Hisham menjawab dengan panjang lebar sambil memberitahu kementerian perlu menunggu dua minggu untuk melihat apakah ada peningkatan kes jangkitan COVID-19 berpunca daripada perhimpunan itu," katanya.