--> Skip to main content

Trafik ke utara dan pantai timur sesak

KUALA LUMPUR: Perjalanan menghala ke utara tanah air dilaporkan sesak dengan peningkatan 30 peratus daripada aliran kenderaan harian, sementara trafik menuju ke selatan masih lancar, setakat tengah hari ini.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata daripada pemantauan dan aliran semasa, kesesakan dilaporkan di kebanyakan lokasi terutama laluan bercerun dan berbukit dari jam 3 petang semalam hingga 2 pagi tadi.

"Kesesakan berlaku berikutan percampuran trafik warga kota untuk tempat kerja, keadaan hujan selain pertambahan kenderaan menjelang perayaan Aidiladha esok.

"Aliran trafik perlahan di kebanyakan jalan berbukit ke arah utara seperti di Slim River, Tapah, Sungai Perak, Gua Tempurung, Terowong Menora dan Kuala Kangsar dengan keadaan berubah lancar beberapa jam pada awal pagi dan kembali padat mulai jam 8 pagi tadi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Katanya, setakat ini Hentian Sebelah Ladang Bikam, dekat Bidor ditutup sementara bagi menyuraikan kesesakan dan mengelakkan orang ramai berhenti hingga menjejaskan pematuhan penjarakan sosial.

"Kita menjangkakan pertambahan kenderaan akan meningkat petang ini memandangkan cuti sekolah bermula dan ramai pulang beraya pada saat akhir, sekali gus kesesakan terus berlarutan hingga malam dan awal pagi keesokan hari," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan syarikat pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad, berkata jumlah trafik menggunakan kedua-dua lebuh raya itu dijangka melonjak lebih 50 peratus, sejak 29 Julai hingga Ahad ini.

"Aliran trafik semakin sesak dengan kemuncaknya dijangka dari 3 petang hingga 12 malam ini dengan kira-kira 290,000 kenderaan bakal menggunakan Lebuhraya KLK dan LPT 1 pada hari ini.

"Kita akan terus bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak berkuasa lain bagi memastikan Lebuhraya KLK dan LPT 1 berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk dilalui," katanya.