--> Skip to main content

Timbangkan kewujudan undang-undang antilompat parti

KITA perlu memberi pertimbangan terhadap cadangan mewujudkan undang-undang khusus mengenai Anti Lompat Parti ini bagi menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik melalui proses pilihan raya sah daripada melompat parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah.

Undang-undang khusus penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara untuk tempoh jangka panjang. Paling penting, ia dapat melindungi hak rakyat negara ini yang memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya.

Drama lompat parti harus dihentikan bagi mengelakkan rakyat negara ini sakit kepala melihat gelagat melompat parti hingga boleh menggugat kestabilan politik dan perjalanan pentadbiran negara.

Sekiranya mana-mana pihak mengambil tindakan melompat parti tanpa sebarang sebab kukuh atau tanpa alasan munasabah, ia dibimbangi akan menyebabkan negara kita berada dalam keadaan tidak menentu serta tidak stabil hingga boleh menjejaskan proses pentadbiran negara dan kehidupan rakyat.

Namun, perlu diketahui sukar untuk cadangan undang-undang anti-lompat parti terbabit dilaksanakan kerana ia dilihat bertentangan prinsip dan jaminan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan selaras Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan isu berkaitan dengan kebebasan setiap warganegara Malaysia untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Perkara (10)(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan dengan jelas (a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara; (b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata dan (c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

Pada masa sama, sudah terdapat kes mahkamah yang jelas terhadapnya dalam negara kita. Pada April 1992, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan kini) ketika itu dalam kes Nordin bin Salleh lwn Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992] 1 CLJ 343 telah memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Walaupun terdapat kes mahkamah mengenai isu terbabit, perlu diketahui pihak Mahkamah Persekutuan juga mempunyai kuasa mengubah keputusannya sendiri. Mahkamah Persekutuan boleh diberi peluang untuk mengkaji semula keputusan Nordin bin Salleh itu serta mendapat satu bentuk perundangan baharu terhadap isu lompat parti dalam negara kita.

Proses pengkajian ini bukan perkara baharu dilakukan. Proses pengkajian semula ini boleh dilihat di dalam kes Adorna Properties lwn Boonsom Boonyanit dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2000 dikaji semula oleh Mahkamah sama pada 2010.

Sebagaimana Mahkamah Persekutuan mengkaji semula keputusannya dalam kes Boonsom Boonyanit selepas 10 tahun, diharapkan pihak Mahkamah Persekutuan dapat mengkaji semula keputusannya dalam kes Nordin Salleh bagi menyelesaikan isu lompat parti dalam negara kita.

Cadangan bagi mewujudkan peruntukkan undang-undang khusus terhadap isu lompat parti ini adalah penting kerana implikasi besar yang boleh timbul sekiranya tiada tindakan tegas diambil dari sekarang bagi membendungnya. Melalui cadangan undang-undang terbabit, sekurang-kurangnya syarat boleh diberikan kepada mana-mana wakil rakyat untuk membenarkan mereka bertukar parti selepas mereka mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sekali lagi kerusi yang dimenangi.

Cadangan mewujudkan peruntukkan undang-undang khusus terhadap isu lompat parti ini boleh dipertimbangkan demi kestabilan politik jangka panjang dalam negara kita serta bagi mengelakkan isu lompat parti tidak berkesudahan ini.

*Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)