--> Skip to main content

'Samanlah...saya tidak gentar' - Zuraida

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, menegaskan tidak gentar dengan ugutan saman daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden PKR, secara sinis mengalu-alukan cubaan Anwar untuk menuntut RM10 juta sebagai ganti rugi kerana lompat parti, dalam tempoh seminggu.

"Saya tidak kisah dengan ugutan ini, dipersilakan... saya tidak berpaling tadah (terhadap PKR) sebaliknya dipecat daripada parti.

"Dia (Anwar) boleh tuntut esok sekali pun tetapi kami tak kisah pun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, PKR dilapor menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta seorang terhadap 20 wakil rakyat keluar parti, termasuk daripada bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida.

Ganti rugi itu dikatakan dipersetujui kumpulan wakil rakyat terbabit jika keluar parti dan menggunakan kerusi mereka bagi kepentingan sendiri dan berlawanan kepentingan PKR.

Selain Azmin dan Zuraida, MP dan ADUN yang dituntut ganti rugi adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat).

Turut berdepan tuntutan itu ialah Ali Biju (Saratok); Jonathan Yasin (Ranau); Dr Chong Fat Full (Pemanis); Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); Baru Bian (Selangau); Azman Nasrudin (Lunas); Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam); Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).