--> Skip to main content

Tiada kes COVID-19 di Kampung Padang Jambu - Pengarah Kesihatan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Terengganu menafikan satu kenyataan yang tular melalui Facebook sejak semalam, kononnya terdapat seorang pesakit COVID-19 di Kampung Padang Jambu, di Dungun.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata tiada kes COVID-19 dikesan di kampung berkenaan sebagaimana ditularkan.

"Bagaimanapun, Pejabat Kesihatan Daerah Dungun ada menerima notifikasi bahawa terdapat seorang remaja perempuan yang mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI), Ahad lalu.

"Remaja itu telah diberikan rawatan dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemantauan lanjut. Ujian PCR (polymerase chain reaction) bagi pengesanan COVID-19 dijalankan dan hasil keputusan yang diperoleh semalam adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, jabatan amat menghargai keprihatinan masyarakat dalam mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan COVID-19 di Terengganu.

Dr Nor Azimi berkata, semua anggota masyarakat digesa untuk meningkatkan kawalan kendiri serta tidak berasa selesa dan alpa kerana masih terdapat risiko jangkitan COVID-19 dalam komuniti.

"Namun, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan berita dari sumber yang sahih dan betul sebelum menyebarkannya supaya tidak menimbulkan kegusaran serta suasana panik dalam kalangan masyarakat.

"Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa sehingga 31 Ogos ini dan membudayakan amalan seperti saranan Kementerian Kesihatan iaitu mengelakkan kawasan sesak, ruang sempit serta perbualan rapat.

"Amalkan 3W, iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair pencuci tangan pembasmi kuman, memakai pelitup hidung dan mulut di tempat awam atau jika bergejala serta mematuhi amaran atau peringatan pihak KKM seperti bersalaman dan bersentuhan," katanya.

"Selain itu, amalkan etika batuk atau bersin yang betul, duduk di rumah dan hanya keluar rumah jika mempunyai urusan penting, lakukan aktiviti disinfeksi serta dapatkan rawatan segera jika bergejala," katanya. - BERNAMA