--> Skip to main content

Tetak isteri minta cerai

JEMPOL: Berang dengan tindakan isteri mahu bercerai selain tidak berpuas hati dengan penafian wanita itu mengenai hubungan sulitnya dengan lelaki lain menjadi punca dia ditetak suami sendiri.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Ladang St Helier, Bahau jam 7.00 pagi semalam, wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah itu parah ditetak suaminya dengan sebilah parang.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif, berkata terdahulu Selasa lalu, mangsa dan suspek pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi mendaftarkan perceraian.

Bagaimanapun suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran sesudah mereka pulang ke rumah.

Suspek kemudiannya menuduh mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain namun dinafikan mangsa.

"Disebabkan tidak puas hati dengan penjelasan mangsa, suspek mengambil sebilah parang yang ada di belakang rumah dan terus menetak bahagian leher kiri mangsa.

"Suspek menetak mangsa beberapa kali sebelum menolak mangsa hingga jatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairiel berkata kejadian turut disaksikan anak mereka yang berusia 11 tahun sebelum meminta bantuan jiran.

"Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN) dengan ambulans dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka tetakan di bahagian leher, tangan kanan dan kiri, patah bahagian lengan kanan dan retak tangan kiri," katanya.

Mohd Khairiel berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.