Skip to main content

Teruja kembali ke TADIKA

JOHOR BAHRU: "Sudah lama cuti, tidak sabar hendak ke sekolah hari ini, nak jumpa kawan dan cikgu," kata Muhammad Ary Arsyad Mohd Azhar, 5.

Dia adalah antara murid Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA), Sri Kamariah Kindergarten cawangan Adda Height, di sini yang memulakan semula sesi pembelajaran hari pertama tadika itu mula beroperasi setelah hampir empat bulan ditutup akibat Pendemik COVID-19.

Bapanya, Mohd Azhar Mohd Sari, 33, berkata anak sulungnya itu sangat teruja dan bangun seawal jam 7 pagi untuk ke TADIKA hari ini.

"Sebelum ini anak saya selalu tanya bila boleh kembali ke TADIKA," kata pekerja swasta itu sambil menjelaskan dia yakin dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan untuk menghantar anaknya ke TADIKA.

Pembantu Tadbir, Suharti sugene, 32, pula berkata pada mulanya dia berasa bimbang untuk menghantar anak ke TADIKA terutama berkenaan aspek penjarakan sosial.

Bagaimanapun, selepas melihat pematuhan SOP di TADIKA itu dia berasa yakin keselamatan anaknya.

"Sebenarnya ada rasa was-was pada mulanya. Tapi saya yakin pihak pengurusan TADIKA akan memantau setiap murid. Bila hantar tadi pun, ada ambil suhu, beg sekolah disanitasi dulu sebelum masuk, murid diajar basuh tangan sebelum mula kelas dan memakai pelitup muka," katanya.

Guru melakukan pemeriksaan kesihatan kepada murid yang baru tiba pada hari pertama persekolahan murid pra sekolah di TADIKA Perpaduan, Bandar Baru Sentul, selepas tiga bulan sesi persekolahan ditutup bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali Guru melakukan pemeriksaan kesihatan kepada murid yang baru tiba pada hari pertama persekolahan murid pra sekolah di TADIKA Perpaduan, Bandar Baru Sentul, selepas tiga bulan sesi persekolahan ditutup bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sementara itu, Pengurus Sri Kamariah cawangan Adda Height, Suhaila Halim, 34, berkata ada 20 murid TADIKA itu yang hadir menyambung sesi pembelajaran hari ini.

Katanya, mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan diasingkan mengikut jadual pembelajaran bagi mematuhi normal baru.

"Satu kumpulan pelajar 10 kanak-kanak akan memulakan sesi pembelajaran dalam kelas, manakala satu kumpulan lagi akan melakukan aktiviti di perpustakaan.

"Untuk dua minggu pertama ini kita akan menerap dan memberi pemahaman secara ringkas supaya kanak-kanak ini faham mengapa tidak boleh bersalam, tidak boleh berpeluk dan tidak bersentuhan," katanya.