--> Skip to main content

Teliti implikasi pilihan raya Sabah ketika COVID-19

ACAP KALI pilihan raya diadakan, rakyat sedar akan tanggungjawab harus dilaksanakan sebagai pengundi. Rakyat pastinya sudah mempunyai masa cukup panjang dalam membuat pilihan. Namun, apabila berlakunya pilihan raya mengejut, sudah lumrah manusia akan membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa.

Di sini, rakyat tidak lagi berada dalam keadaan selesa untuk melunaskan tanggungjawab. Mereka mengundi atas dasar akur kepada keadaan semasa.

Dalam keadaan terpaksa itu, maka akan terjadinya tindak balas biologi yang boleh mengganggu sistem fisiologi dan pertimbangan mental yang semasa tertekan atau stres, tindak balas adrenalin yang berlaku boleh membawa kepada keadaan minda tidak seimbang.

Perubahan ini akan mendorong seseorang membuat pertimbangan tidak bernas. Apatah lagi, dalam keadaan rakyat sedang cemas berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19. Hakikatnya, Sabah juga dilaporkan mempunyai kadar depresi tinggi dalam kalangan rakyatnya.

Kini, Sabah gempar semula dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan membawa kepada pilihan raya mengejut. Persoalannya, adakah rakyat dalam keadaan bersedia turun padang menentukan pemimpin masa depan mereka?

Ini mengambil kira rakyat akan cenderung membuat keputusan dalam keadaan kebolehsampaian maklumat terhad. Sedangkan ini faktor utama yang menjadi asas penting dalam menilai kewibawaan seseorang calon.

Terkini, dua murid sekolah rendah di negeri Sabah didapati positif COVID-19. Pastinya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berusaha keras dalam mengenal pasti kontak rapat kepada dua kanak-kanak ini demi membendung penularan pandemik COVID19.

Bayangkan, kesukaran bakal dilalui dalam pengendalian kempen dan proses pembuangan undi kelak dalam keadaan amalan penjarakan sosial bukan sesuatu boleh dilonggarkan. Mungkinkah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengubah kelaziman pengendalian tempoh masa pembuangan undi. Pastinya, proses ini akan mengambil masa lebih lama berbanding tempoh biasa dijalankan.

Pada masa sama, proses pembuangan undi mengundang kemungkinan rakyat untuk berkumpul dan tidak mustahil, berlakunya perhimpunan besar-besaran di luar kawalan. Ini bakal menggagalkan usaha kerajaan memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 dan meratakan lekukan pandemik ini. Jangan terkejut sekiranya terdapat kluster pilihan raya Sabah kerana ia berlaku dalam masa sama di seluruh ceruk negeri ini.

Berdasarkan keseluruhan senario ini, amat sukar untuk mencapai tujuan sebenar sesebuah pilihan raya diadakan. Pertama, memilih pemimpin/kerajaan berwibawa dalam melaksanakan amanah demi kepentingan bersama rakyat dan negeri.

Kedua, sebagai jalan penyelesaian kepada apa sahaja isu yang menyebabkan kerajaan sedia ada perlu dibubarkan. Apa yang berlaku sebaliknya pula ialah pilihan raya mengejut ini bakal mengundang dua kesan yang terpaksa ditanggung selepas pilihan raya kelak.

Kesan pertama adalah impak kepada kestabilan sosioekonomi semakin menghimpit kehidupan rakyat. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan hingga kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), rakyat menghadapi tekanan hidup akibat kekangan kewangan dan kehilangan punca pendapatan.

Masalah ini akan menjadi semakin rumit seandainya kawalan pergerakan diperketatkan semula disebabkan kenaikan jumlah kes positif COVID19 yang boleh berlaku akibat daripada ketidakpatuhan rakyat semasa pilihan raya.

Kedua, ketidakstabilan politik berpanjangan disebabkan pemimpin tidak cekap dalam menggalas amanah sebagai pemimpin rakyat berwibawa. Hal ini boleh berlaku sekiranya rakyat tidak menerima maklumat tepat serta informasi mencukupi dalam membuat keputusan sewaktu mengundi.

Namun, pilihan raya di Sabah tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, dengan memahami keseluruhan situasi sedang berlaku dan bakal melanda, rakyat harus sedar betapa pentingnya memilih pemimpin yang bakal menerajui kepimpinan negeri kelak dengan bijak.

Kali ini, elemen kebijaksanaan dimaksudkan itu perlu ditakrifkan dengan definisi tepat untuk kelangsungan kemakmuran sosioekonomi yang benar-benar membawa Sabah ke mercu kegemilangan.

*Penulis adalah penganalisis politik Sabah