--> Skip to main content

Tak perlu kuarantin Ahli Parlimen selagi belum positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen yang menyertai perhimpunan penyokong Datuk Seri Najib Razak di depan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam tidak boleh dihalang hadir persidangan Dewan Rakyat.

Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata beliau maklum mengenai kebimbangan penyebaran COVID-19 membabitkan kumpulan perhimpunan itu.

Namun, katanya tidak dapat dipastikan sama ada Ahli Parlimen yang hadir perhimpunan itu sudah dijangkiti.

"Kita tiada kuasa untuk menghalang aktiviti ahli Parlimen di luar Dewan Rakyat. Selagi tidak dibuktikan bahawa Ahli Parlimen sudah dijangkiti, maka kita tidak boleh halang mereka masuk ke dewan ini," katanya menjawab usul RSN Rayer (PH-Jelutong) selepas sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Rayer dalam usulnya mencadangkan supaya Ahli Parlimen yang menghadiri perhimpunan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dikuarantin dan tidak dibenarkan menghadiri persidangan.

Beliau turut menamakan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN- Pontian), Datuk seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang).

"Saya hendak bertanya, adakah mereka perlu menjalani kuarantin? Kerana kita sekarang terdedah (dengan Covid-19).

"Orang di luar sana mahu tahu. Mereka tanya saya adakah SOP untuk orang biasa sahaja? Bagaimana dengan ahli parlimen kerajaan," katanya.

Kepada pertanyaan itu, Azhar berkata, tiada siapa yang tahu sama ada peserta perhimpunan itu sudah dijangkiti dan sudah menjangkiti orang lain dengan COVID-19.

Namun, beliau menegaskan tidak berkompromi dengan mana-mana isu berkaitan pelanggaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Dewan Rakyat.

"Seperti selalu saya nasihatkan supaya ahli Parlimen terus mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Anggota parlimen BN yang menghadiri perhimpunan menyokong Najib Razak di mahkamah semalam berkata pembangkang berat sebelah dalam isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial.

Ahmad berkata, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi), Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun), Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) dan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) juga telah menghadiri perhimpunan ramai tanpa penjarakan sosial.

"Adakah mereka juga perlu kuarantin jika saya harus kuarantin?" katanya.

Turut mencelah, Azeez mendakwa Rayer membuat dakwaan berat sebelah.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan sedih dengan tindakan peserta perhimpunan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang tidak mematuhi penjarakan sosial.

Sebelum itu, dilaporkan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh ketika berbahas menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat menyatakan kebimbangan kewujudan kluster baharu melalui perhimpunan itu.