Skip to main content

"Tak mustahil Kedah boleh 'bungkus' seperti Perlis!"

KUALA LUMPUR: Itu amaran yang diberikan pemerhati bola sepak, Mohd Sadek Mustaffa ketika diminta mengulas situasi 'parah' yang sedang melanda Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) selepas pemain pasukan itu tidak menerima bayaran gaji selama lima bulan.

Jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu, 'bau-bau' Kedah untuk menerima nasib yang sama dengan jiran mereka, Perlis sudah mula menunjukkan potensi terutamanya selepas berdepan tunggakan gaji berbulan bulan lamanya.

"Dengan tunggakan gaji dan hutang sehingga RM10.6 juta itu, memang kita boleh anggap satu masalah yang besar. Tengok pula pada situasi sekarang dengan COVID-19, saya kira ini antara kekangan terbesar yang perlu dihadapi pengurusan baharu KFA untuk selesaikannya.

"Jika terus berlanjutan tanpa ada sebarang penyelesaian, mungkin Kedah akan jadi seperti Perlis. Perlis pun bermula dengan masalah sama iaitu tunggakan gaji dan akhirnya menerima kesan digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus terkubur.

"Untuk itu, pengurusan KFA perlu mengambil serius perkara ini dan cuba mencari jalan penyelesaikan terbaik. Kalau tidak, nampak gayanya pemain Kedah perlu turun ke bendang pula selepas ini," katanya.

Dalam masa sama, Sadek menjelaskan model pengurusan berteraskan politik seperti yang digunakan KFA dan banyak lagi pasukan di negara ini adalah satu model yang 'berbahaya' apabila ia dipengaruhi dengan tampuk kepemimpinan kerajaan negeri.

"Kita lihat sahaja senario di Kedah, beberapa kali pertukaran kerajaan negeri bertukar dalam tempoh beberapa tahun ini dan mereka terus menggunakan polisi yang sama di mana Menteri Besar dipilih sebagai presiden KFA. Model sebegini memang rapuh dan masalah akhirnya timbul selepas pertukaran kepemimpinan di tengah krisis gaji yang berlaku sebelum ini.

"Ia seperti main dam aji di mana satu pihak makan sini, kemudian satu pihak makan balik dan tiada kesudahan. Menteri Besar sekarang (Muhammad Sanusi Md Nor) maklumkan ada beberapa pihak berminat bekerjasama dengan KFA. Lebih baik tawarkan sahaja KFA kepada mereka untuk dikendalikan secara swasta dan persendirian.

"Modul ini lebih baik kerana jika berlaku lagi pertukaran kerajaan negeri, KFA tidak akan menerima kesan. Cuma pemain dan barisan kejurulatihan perlu bersedia dengan sebarang perubahan polisi yang akan diwujudkan nanti apabila KFA diswastakan nanti," katanya.