--> Skip to main content

Syarikat Malaysia lebih yakin mampu pulihkan perniagaan

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia lebih optimistik untuk memulihkan kembali perniagaan mereka akibat impak COVID-19 berbanding firma negara lain, demikian mengikut Standard Chartered dalam tinjauannya terhadap korporat bersaiz pertengahan.

Hasil tinjauan itu mendapati 50 peratus responden dari Malaysia mengenalpasti 20-50 peratus pengurangan dalam pendapatan bulanan dan 62 peratus mengunjurkan bahawa mereka memerlukan sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan untuk pulih daripada impak wabak berkenaan.

Jika dibandingkan secara keseluruhan, tinjauan itu mendapati lebih 60 peratus responden mengenalpasti 20-50 peratus pengurangan dalam pendapatan bulanan dan lebih daripada separuh mengunjurkan bahawa mereka memerlukan sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan untuk pulih daripada impak wabak berkenaan dan menstabilkan semula operasi.

Tinjauan berkenaan dibuat membabitkan pembuat keputusan daripada lebih 200 korporat bersaiz pertengahan merentasi tanah besar China, Hong Kong, India, Malaysia dan Singapura.

Tinjauan itu juga mendedahkan lebih 70 peratus perusahaan pertengahan di Asia hari ini mengutamakan untuk menjadikan operasi mereka lebih fleksibel dan tangkas bagi menyokong pertumbuhan perniagaan, berbanding sebelum pandemik COVID-19.

Ketika pasaran mula melonggarkan sekatan perintah berkurung dan perniagaan mulai memulih, keperluan untuk memastikan ketahanan dalam model operasi mereka berada di kedudukan lebih atas daripada kerelevenan penggunaan teknologi sebagai pembezaan daripada pesaing (63 peratus) dan memberikan lebih banyak penyelesaian nilai tambah kepada pelanggan (61 peratus).

Di peringkat Malaysia bagaimanapun, responden mengenalpati keperluan untuk lebih berhati-hati dengan risiko (73 peratus), jauh lebih tinggi daripada menjadikan operasi mereka lebih tangkas dan fleksibel (69 peratus), diikuti mendahului keinginan untuk menggunakan teknologi untuk membezakan daripada pesaing (65 peratus).

Ketua Global Perbankan Komersil Standard Chartered, Jiten Arora, berkata disebabkan keterbatasan sekitar sokongan pembiayaan dan juga ketidakpastian mengenai permintaan pengguna akhir, korporat bersaiz pertengahan sering lebih mudah terjejas terhadap gangguan berbanding syarikat bersaiz lebih besar.

"Di sebalik cabaran ini, adanya peluang untuk pertumbuhan menguntungkan yang baharu jika perniagaan ini dapat menggunakan saiz mereka untuk kelebihan mereka dan menjadi lebih baik dalam berinovasi dan mengubah cara kerja mereka untuk menjadi lebih berdaya tahan.

"Bagi memastikan syarikat bersaiz pertengahan dapat menghadapi krisis ini, dan yang lebih penting mempersiapkan masa depan yang akan tiba, mereka harus mengubah pemikiran mereka terlebih dahulu untuk melihat pembinaan daya tahan sebagai pelaburan yang akan memberikan pertumbuhan dan keuntungan yang berlanjutan dalam jangka panjang, bukannya sebagai kos.

"Kami berharap artikel yang menawarkan sudut pandang ini dapat menjadi titik permulaan yang berguna buat perniagaan ini dalam perjalanan berterusan mereka untuk mencapai pertumbuhan yang berdaya tahan," katanya.