Skip to main content

Status kesihatan jemaah haji memuaskan

MINA: Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan status kesihatan semua jemaah haji memuaskan dan tiada kes COVID-19 direkodkan setakat ini, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Pembantu Menteri Kesihatan dan jurucakap kementerian, Dr Mohammed Al Abdulaali menyatakan demikian pada taklimat harian media sempena musim Haji tahun ini di Makkah, sambil diperhatikan oleh jurucakap Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Leftenan Kolonel Talal Al Shalhoub.

Dr Al Abdulaali melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan terhadap pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulazid Al Saud dan Putera Mahkota, atas penjagaan dan keprihatinan baginda, dalam memastikan keselamatan semua jemaah.

Beliau juga memberitahu, kementerian sentiasa bersedia melaksanakan semua langkah kesihatan yang perlu dalam membekalkan perkhidmatan kesihatan untuk kemudahan jemaah di Tanah Suci.

Kemudahan berkenaan termasuk enam hospital di Tanah Suci, 51 klinik, 200 ambulans, 62 pasukan perubatan, klinik bergerak, enam ambulans berkelengkapan penuh serta klinik di kediaman jemaah.- AFP