--> Skip to main content

Siti Elizad tunda rawatan IVF

KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Elizad Sharifuddin akan menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) selepas tamat penggambaran drama Jalan Sesat Ke Syurga yang masih dalam penggambaran.

Elizad, 36, atau nama sebenarnya, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin berkata, dia mahu menghabiskan penggambaran drama berkenaan terlebih dahulu bagi mengelak diri kepenatan dalam tempoh rawatan.

"Ramai ingat saya sudah memulakan rawatan IVF, tetapi saya belum berkesempatan memulakan lagi. Kini, saya sedang menghabiskan penggambaran drama Jalan Sesat Ke Syurga hingga akhir Ogos. Selepas itu, barulah saya tenang mahu memulakan rawatan.

Jalan Sesat Ke Syurga arahan Osman Ali menggandingkan Siti Elizad dan Datuk Aaron Aziz menjadi drama terakhir sebelum berehat bagi menjalani rawatan IVF - Foto IG Siti Elizad Jalan Sesat Ke Syurga arahan Osman Ali menggandingkan Siti Elizad dan Datuk Aaron Aziz menjadi drama terakhir sebelum berehat bagi menjalani rawatan IVF - Foto IG Siti Elizad

"Sepatutnya penggambaran drama ini sudah selesai tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia ditunda. Saya tak mahu terlalu penat kerana ia memberi kesan kepada rawatan. Jadi, saya akan menjalani rawatan selepas penggambaran selesai dan hanya fokus sebagai penyampai radio dalam tempoh setahun.

"Lagipun, saya banyak menerima tawaran melakonkan karakter sedih, jadi saya tak mahu emosi memberi kesan pada bayi nanti. Saya mahu dalam tempoh saya menjalankan rawatan, saya tenang dan gembira sahaja. Tetapi, jika ada tawaran watak undangan, saya akan mempertimbangkan," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Elizad pernah berkongsi akan menjalani rawatan IVF selepas Aidilfitri, baru-baru ini. Bagaimanapun, ekoran masih terikat dengan penggambaran drama Jalan Sesat Ke Syurga, perancangan terpaksa dianjakkan.

Menerusi drama arahan Osman Ali, Elizad bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz, Datuk Jalaludin Hassan, Aleza Shadan dan ramai lagi.

Selain itu, Elizad yang juga penyampai radio Sinar FM tampil dengan program bual bicara baharu, Ada Apa Dengan Dot Dot Dot.

Melihat tawaran yang tidak putus, Elizad bersyukur apabila rezeki dalam bidang seni sentiasa murah.

"Alhamdulillah, mungkin disebabkan sekarang saya masih muda. Jika selepas usia 40 tahun tak tahulah. Selagi sihat tubuh badan, saya akan terus bekerja. Paling penting, saya akan terus berlakon dan mengacara jika mendapat sokongan penonton," katanya.