--> Skip to main content

Sistem waktu kerja anjal dalam pindaan Akta Kerja 1955

KUALA LUMPUR: Sistem waktu kerja anjal dan penambahbaikan perlindungan bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja adalah antara perkara yang dicadang dalam pindaan Akta Kerja 1955.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata cadangan meminda Akta Kerja 1955 itu adalah bagi menambah baik standard minimum pekerjaan, selaras dengan standard perburuhan di peringkat antarabangsa.

"Pindaan itu (juga) bagi memperkemas pelaksanaan waktu kerja yang lebih fleksibel dalam membantu pekerja mendapat bayaran gaji yang setimpal.

"Kementerian juga bercadang untuk mewujudkan peruntukan baharu berhubung sistem aturan kerja anjal di bawah Akta Kerja 1955, bersesuaian dengan pasca-COVID-19 yang mana normal baharu akan kita cadangkan.

"Peruntukan ini juga akan memperincikan berhubung permintaan bertulis daripada pekerja kepada majikannya untuk mengubah terma dan syarat pekerjaan pekerja berhubung dengan fleksibiliti pekerja berkenaan termasuk jam dan hari bekerja serta tempat pekerjaan berdasarkan syarat tertentu yang dipersetujui oleh majikan dan pekerja," katanya menjawab soalan Jugah Muyang (Lubok Antu- GPS) di Dewan Rakyat hari ini.

Jugah dalam soalannya ingin mengetahui mengenai pindaan ke atas undang-undang buruh di negara ini berikutan kajian mendapati pekerja Malaysia tidak menerima gaji setimpal.

Awang menjelaskan langkah itu secara tidak langsung mengurangkan kos perbelanjaan seorang pekerja dalam menjalankan tugas.

Beliau menjelaskan turut dipertimbangkan bagi pindaan akta itu adalah pengenalan cuti paterniti dan peningkatan tempoh cuti bersalin.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Jugah mengenai gaji minimum, Awang berkata, hingga kini 56 majlis bandar raya dan majlis perbandaran telah melaksanakan kadar gaji minimum RM1,200 sebulan.

"Usaha untuk memastikan semua pihak melaksanakan kadar gaji yang sama akan diteruskan," katanya.