--> Skip to main content

Shuk tak kecil hati usikan netizen

KUALA LUMPUR: Dijadikan bahan jenaka apabila disamakan dengan wanita dikenali sebagai Qaseh Eiman, pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar tidak kisah.

Shuk atau nama sebenarnya, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 34, berkata, dia tidak sangka ada wanita mirip wajahnya, namun tidak mengambil hati usikan nakal netizen.

"Memang betullah ada tujuh wajah dalam dunia ini. Saya sudah berjumpa orang kedua. Netizen tanya adakah kakak atau adik saya. Kami tiada pertalian darah dan tiada kena mengena dengan saya," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, tular aksi seorang gadis mengamuk di hadapan pintu masuk gedung perabot popular mencuri perhatian netizen. Wajah gadis itu dikatakan mirip Shuk.

"Saya tak kisah disamakan dengan Qaseh sebab orang ramai pun tahu, itu bukan saya. Pada saya, benda ini kelakar sebab selagi tidak memberi kesan pada saya. Bagaimanapun, jika betul adik beradik saya yang buat, mungkin saya tak rasa kelakar.

"Bagaimanapun, setakat ini, saya terbuka dan okay sahaja. Saya sendiri pernah muat naik di laman sosial bergurau mengenai kami," katanya yang ditemui pada majlis memperkenalkan stesen televisyen (TV) swasta terbaharu, Awesome TV, baru-baru ini.

Menerusi Awesome TV, Shuk tampil dengan beberapa program baharu.

Menafikan dirinya menjadi anak emas stesen itu, Shuk berkata, bukan dirinya sahaja diberi peluang, malah ramai penggiat seni termasuk artis lama dan baharu diberikan peluang sama rata.

"Awesome TV adalah satu platform yang baik, mana bertambahnya satu lagi stesen TV yang sedia ada untuk artis terus berkarya.

"Saya pernah bekerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Adam Ilyas di TV3 menerusi kafe Pop Yeh Yeh, jadi apabila beliau menghasilkan program bagi Awesome TV, dapatlah saya peluang.

"Saya terbabit dengan program bual bicara Shuk Nak Tanya, Anugerah Malam Ini dan Awesome yang seumpama program MeleTOP. Saya baru sahaja selesai merakamkan program Shuk Nak Tanya untuk musim kedua," katanya.

Shuk yang juga penyampai radio Hot FM itu bersyukur apabila tawaran kerja yang diterimanya tidak putus.

"Alhamdulillah, ini boleh dikatakan rezeki selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebab apabila bercakap mengenai pandemik COVID-19, bukan sahaja industri hiburan, malah satu dunia terkesan.

"Jadi, saya bersyukur masih mempunyai kerja dan terima kasih kepada Hot FM ketika PKP. Kerja itulah yang banyak menampung hidup saya dan keluarga. Kami tetap bekerja walaupun ke udara dari rumah," katanya yang akan tampil dengan sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) musim keenam.