Skip to main content

Seludup penuh gaya

DUA lelaki yang disyaki penyeludup membawa dua kerbau dan seekor lembu dalam float kuda (semi treler kandang haiwan) secara tidak sah dari Thailand, semalam.

Tindakan itu dipercayai untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa dan tiga binatang ternakan yang dianggarkan bernilai RM20,000 itu adalah untuk pasaran tempatan.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi berkata, mereka ditahan oleh sepasukan anggotanya di Jalan Chabang Empat, dekat Tumpat, pada jam 12.15 tengah hari.

Beliau berkata, ia selepas pihaknya curiga dengan kenderaan terbabit.

"Bertindak atas maklumat penyeludupan haiwan, semasa anggota kami sedang menjalankan rondaan berkereta, sebuah jip jenis Isuzu yang menunda float kuda dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Pemandu dan kelindannya ditahan dan hasil pemeriksaan dalam float kuda itu mendapati dua kerbau betina dan seekor lembu jantan yang disyaki diseludup dari negara jiran.

"Ketiga-tiga binatang ternakan itu tidak mempunyai tag telinga, dokumen perjalanan dan permit pemindahan yang sah," katanya ketika dihubungi.

Azhari berkata semua barang rampasan iaitu tiga binatang ternakan, jip serta float kuda dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM45,000 dibawa ke Balai Polis Chabang Empat, untuk tindakan lanjut oleh pihak berkenaan.

DUA kerbau betina dan seekor lembu jantan yang diseludup dari Thailand dianggarkan bernilai RM20,000 yang dibawa di dalam float kuda untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa. FOTO ihsan PG DUA kerbau betina dan seekor lembu jantan yang diseludup dari Thailand dianggarkan bernilai RM20,000 yang dibawa di dalam float kuda untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa. FOTO ihsan PG

Menurutnya lagi pemandu dan kelindan yang juga warga tempatan dan masing-masing berusia 35 serta 25 tahun juga turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan lembu serta kerbau itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Kelantan," katanya.