--> Skip to main content

Sekolah masih selamat dari COVID-19

PUTRAJAYA: Institusi sekolah masih dilihat sebagai kawasan selamat daripada penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun sekolah dianggap sebagai satu risiko, namun ia boleh diuruskan.

Katanya, jika pihaknya mengesan kes jangkitan berlaku dalam kawasan sekolah, institusi terbabit boleh diambil tindakan menutup sekolah.

"Dari tarikh 10 Jun lalu, tiada kes (jangkitan COVID-19) dikesan di sekolah. Sekolah masih kawasan selamat.

"Apa yang perlu dilakukan ialah dengan memastikan semua menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan jaga cara berinteraksi di sekolah.

"Isu sekarang ini ialah (jangkitan) di luar sekolah. Contohnya, selepas sekolah, ramai berkumpul untuk balik," katanya ketika sesi soal jawab pada program Libat Urus Kementeraian Kesihatan bersama media, hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi menangani kesesakan di luar sekolah terutama selepas tamat sesi pembelajaran.

"Mungkin boleh lepaskan (murid pulang) secara berperingkat, maka kita boleh kurangkan risiko," katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk memasukkan aspek kesihatan awam dalam silibus pembelajaran.