--> Skip to main content

SC keluar garis panduan baharu tatalaku pengarah syarikat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan garis panduan baharu mengenai tatalaku pengarah syarikat tersenarai dan anak syarikat dalam usaha memantapkan tadbir urus dan pengawasan lembaga pengarah syarikat.

Pengawal selia pasaran modal itu dalam satu kenyataan berkata, penerbitan itu sejajar dengan Prioriti Strategik Tadbir Urus Korporat SC (2017-2020) yang bertujuan untuk, antara lain, mempromosikan pelaksanaan tugas fidusiari yang betul dikalangan pengarah korporat di Malaysia.

Ia menetapkan panduan mengenai tugas dan tanggungjawab ahli lembaga dalam struktur kumpulan syarikat serta menetapkan keperluan untuk pembentukan rangka kerja seluruh kumpulan syarikat untuk membolehkan, antara lain, pengawasan terhadap prestasi kumpulan syarikat dan pelaksanaan dasar tadbir urus korporat.

"Garis panduan baharu ini mengambil kira landskap tadbir urus korporat Malaysia yang sedang berkembang, pelajaran daripada kerja pengawalseliaan SC dalam menguatkuasakan pelanggaran tadbir urus korporat dan keperluan untuk memastikan rangka kerja Malaysia tetap relevan dan berkesan.

"Dalam melaksanakan tugas fidusiari, seorang pengarah perlu memberi penyataan, bersikap jujur, tegas dan menjalankan tugas yang memihak kepada kepentingan syarikat daripada kepentingan sendiri," kata Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar dalam kenyataan itu.

Pengenalan garis panduan itu, katanya, adalah salah satu langkah di bawah pelan tindakan pencegahan rasuah SC, yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Khas Jemaah Menteri mengenai Pencegahan Rasuah (JKKMAR) pada 2019.

Garis panduan itu, katanya, berkuat kuasa pada 30 Julai 2020, kecuali Bab 5 mengenai Tadbir Urus Kumpulan yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2021. Ia boleh didapati di laman web rasmi SC.