--> Skip to main content

Santan sasar 15 cawangan baharu tahun ini

PETALING JAYA: Jenama menu dalam penerbangan AirAsia, Santan akan membuka 15 cawangan baharu yang akan dikendalikan secara francais pada tahun ini.

Pengurus Besar Santan, Catherine Goh, berkata pengembangan operasi Santan itu juga akan membantu meningkatkan sasaran jualannya pada 2020, sekali gus menyumbang kepada pendapatan tahunan kumpulan.

Beliau berkata, Santan ketika ini meraih pendapatan mencecah RM1 juta dan ia diyakini meningkat sekali ganda menjelang akhir 2020.

Katanya, pengenalan sistem francais itu juga akan membantu menjadikan Santan sebagai perniagaan rantaian makanan segera utama di Malaysia.

"Sistem francais Santan akan bermula pada suku keempat tahun ini dan ketika ini kami sudah mengenalpasti francaisi berpotensi.

"Kami menyasarkan kepada usahawan muda dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin memiliki perniagaan F&B. Yuran francais serta kos pengendalian juga sangat murah berbanding sistem francais lain iaitu minimum masing-masing pada RM50,000 dan RM350,000.

"Kami percaya, ia juga peluang untuk syarikat melebarkan lagi jenama ke pasaran global," katanya sambil menambah agenda utama sistem francais dan pengembangan jenamanya itu juga membantu membuka peluang pekerjaan selain menyokong peladang, penternak serta pembekal yang berkaitan.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran restoran kedua Santan di Sunway Pyramid, hari ini.

Mengenai pembukaan cawangan kedua Santan, Goh berkata, Sunway Pyramid menjadi pilihan disebabkan permintaan daripada pembeli dalam talian produk Santan sangat tinggi di kawasan Subang dan sekitarnya sebanyak 31 peratus.

"Dalam ekonomi yang mencabar ini, pengembangan Santan mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk membantu bekas kakitangan industri penerbangan.

"Mereka yang mempunyai latar belakang profesional dan berbeza seperti kru kabin dan perkhidmatan pelanggan akan dilatih semula dengan kemahiran untuk berhubung dengan pelanggan luar dan dalam talian Santan," katanya.

Selain bekerjasama dengan rakan penghantar popular, Santan menawarkan perkhidmatan penghantaran sendiri dan disokong oleh platform penghantaran makanan AirAsia, OURFOOD, seterusnya memberi peluang kepada pengusaha francais untuk meningkatkan keuntungan.

Sempena pembukaan cawangan baharu itu, Santan menawarkan promosi masa terhad untuk dua Hidangan Kombo yang terdiri daripada satu makanan dan minuman setiap kombo dengan hanya RM20.

Promosi ini boleh didapati untuk menjamu selera, bawa pulang dan penghantaran di cawangan Sunway Pyramid dan boleh dipesan di santan.com.my dari 22 hingga 31 Julai 2020 menggunakan kod promosi SUNWAY.