--> Skip to main content

Radio sekarang bingit?

KUALA LUMPUR: Pengaruh komedi dalam hampir semua kandungan hiburan baik yang dihasilkan untuk stesen televisyen (TV) atau platform digital, cukup besar.

Andai bukan program lawak sepenuhnya, penerapan elemen jenaka dalam rancangan diterbitkan, bagai sudah menjadi kemestian termasuk acara anugerah berprestij yang mengundang pengacara dalam kalangan pelawak.

Pentas hiburan bagai didominasi pelawak sehingga timbul pandangan, tiada artis komedi, tidaklah 'gempak' atau 'kuat' program yang dihasilkan terutama dalam mengejar rating.

Dalam dunia radio, pengambilan pelawak sebagai penyampai atau deejay sejak lebih 10 tahun lalu masih membuka perdebatan kepada kandungan yang dikatakan tidak mempunyai pengisian. Bagi segelintir pendengar, radio tempatan dianggap lebih mengutamakan jenaka kosong, borak merapu, sindiran bukan-bukan dan lawak syok sendiri.

Stesen radio dilihat berlumba-lumba mengambil pelawak sebagai penyampai hingga mereka konon dijadikan umpan dalam meraih rating tinggi.

Apa yang diperhatikan sekarang jauh berbeza daripada dunia radio pada era 1980-an. Ketika itu, penyampai radio atau deejay adalah individu yang hanya menjalankan tugas di konti. Mereka bukan pelawak, pelakon atau penyanyi, sebaliknya hanya bertugas sebagai juruhebah atau penyiar radio.

Pada era itu, juruhebah RTM seperti Chuari Selamat dan Noramin Mosyi Mosyi, misalnya, cukup popular. Mereka dikenali sebagai juruhebah yang tugasnya bukan sekadar menghiburkan pendengar, malah, menjadi penyampai berita dan informasi dengan bahasa tersusun.

Ada pihak membangkitkan apakah stesen radio tempatan kini memandang kepada populariti pelawak hingga mengetepikan kredibiliti penyampai radio profesional?

Mungkin ada benarnya slot pagi di stesen radio menjadi lebih ceria dengan adanya deejay atau penyampai dalam kalangan pelawak. Tidak dinafikan, pendengar bebas mencari frekuensi radio yang mahu didengari, namun, tatkala berdepan penyampai radio yang lebih gemar membuat lawak dan ketawa sendiri, pastinya ia mengecewakan.

Trend mengambil pelawak sebagai penyampai radio dipelopori pelakon dan pelawak, Salih Yaacob, 59, yang menyertai stesen radio Sinar FM pada 2006.

Mengimbau detik itu, Salih berkata, ketika itu, peminat mahu mendengar sesuatu yang menyeronokkan dari konti stesen radio terutama segmen pagi.

"Alhamdulillah, percubaan itu menjadi kerana pendengar menggemari suasana yang disampaikan di corong radio. Mereka mereka mahu mendengar sesuatu yang menyeronokkan.

"Itulah yang saya cuba ketengahkan dalam penyampaian. Disebabkan itu, saya tampil dengan gelaran Abang Jem. Saya cuba wujudkan suasana yang seronok menerusi karakter Abang Jem.

Trend mengambil pelawak sebagai penyampai radio dipelopori Salih yang menyertai stesen radio Sinar FM pada 2006. Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq Trend mengambil pelawak sebagai penyampai radio dipelopori Salih yang menyertai stesen radio Sinar FM pada 2006. Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

"Orang tak ingat kita, tapi orang ingat gelaran yang kita pakai," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, baik pelawak atau apa sekalipun gelaran apa yang dibawa, Salih berkata, setiap penyampai harus mempunyai ilmu dan rajin membaca isu semasa.

"Seorang penyampai radio perlu mempunyai ilmu dan sentiasa peka mengenai hal semasa, tidak kira dalam atau luar negara. Ini kerana di sebalik penyampaian, perlu ada mesej yang boleh dijadikan manfaat pendengar.

"Dalam berlawak atau bercakap, perlu ada mesej. Seperti filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, biarpun sarat komedi, tapi ada mesej yang disampaikan di sebalik itu," katanya.

Selepas kira-kira 13 tahun menghiburkan pendengar dengan celotehnya, Salih mengucapkan selamat tinggal kepada peminat stesen radio itu apabila kontraknya tidak disambung, tahun lalu.

Penyampai radio Klasik FM, DJ Razz, 56, percaya setiap penyampai ada kelebihan sendiri untuk menarik pendengar.

Tidak pernah menganggap kemunculan pelawak sebagai deejay menjadi persaingan buatnya, DJ Razz atau nama sebenarnya, Raja Azhar Lotfie berkata, setiap stesen radio ada tarikan berbeza.

"Bersaing bukanlah cara saya. Bagi saya, dengan adanya pelawak sebagai penyampai radio, ia memberi variasi kepada pendengar.

"Seperti memilih makanan, setiap hari, kita makan dan pilih menu berbeza mengikut selera. Begitu juga radio, pendengar memilih stesen yang ingin didengari mengikut selera.

"Jadi, apabila banyak variasi, tidaklah bosan. Bagi pendengar yang mahukan lagu klasik, mereka memilih radio Klasik FM. Ini kerana seleksi lagu kami adalah dari era 1930-an sehingga 2000," katanya.

Sehubungan itu, DJ Razz tidak tercabar dengan lambakan pelawak di konti radio kerana percaya Klasik FM ada pengikutnya yang tersendiri.

"Kami ada cara sendiri untuk menarik pendengar. Alhamdulillah, rating kami tidak pernah jatuh. Malah, sentiasa mencatatkan kenaikan.

"Boleh dikatakan radio Klasik FM antara stesen radio teratas di Malaysia," katanya yang bergelar penyampai radio sejak 1995.

Bermula di stesen berbahasa Inggeris, Langkawi FM dan berkhidmat selama 11 tahun iaitu dari 1995 sehingga 2006, DJ Razz mengubah haluan ke radio bahasa Melayu, dengan menyertai Kedah FM selama sembilan tahun.

Kemudian, DJ Razz menyertai RTM dengan berkhidmat di Selangor FM selama lima tahun sebelum menyertai Klasik FM sejak tahun lalu.

Sebelum ini, dia menggunakan gelaran DJ Ice tapi bertukar kepada DJ Razz sejak berkhidmat di Klasik FM.