--> Skip to main content

PRIHATIN, PENJANA imbangi kesan PKP ke atas ekonomi

KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menjadi pemangkin untuk mengimbangi kesan keseluruhan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan COVID-19 terhadap ekonomi.

Jabatan Perangkaan menerusi Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 3/2020 yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, pakej rangsangan terbabit tidak hanya membantu meringankan beban kewangan isi rumah tetapi turut merangsang perbelanjaan domestik bagi menggalakkan perniagaan tempatan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan ketara dalam sentimen perniagaan dan pembukaan semula operasi ekonomi juga menyumbang kepada eksport pada Jun 2020 dengan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 peratus kepada RM82.9 bilion dan menyebabkan lebihan dagangan berjumlah RM20.9 bilion.

"Tambahan pula, prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian melonjak sebanyak 18.2 peratus pada Mei 2020 berbanding bulan sebelumnya.

"Dalam pada itu, nilai jualan perdagangan borong dan runcit turut melonjak kepada 26.3 peratus pada Mei 2020 berbanding bulan sebelumnya," katanya.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja berkurangan 0.3 peratus manakala kadar pengangguran adalah 5.3 peratus berbanding 5.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Penurunan bilangan penduduk bekerja dijangka mengurangkan pendapatan diterima oleh isi rumah yang seterusnya akan mempengaruhi kuasa membeli, katanya.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan turut mendapati jurang pendapatan antara isi rumah telah melebar seperti yang ditunjukkan oleh Pekali Gini yang meningkat kepada 0.407 pada 2019 berbanding 0.399 peratus pada 2016.

"Namun demikian, suntikan pakej rangsangan berterusan oleh kerajaan dijangka akan menambah baik situasi pasaran secara beransur-ansur seterusnya merangsang keadaan pasaran buruh yang lebih baik bagi menjana pendapatan isi rumah.

"Ini selanjutnya akan meningkatkan aktiviti penggunaan domestik dan kesejahteraan isi rumah Malaysia secara keseluruhan," katanya.

-BERNAMA