--> Skip to main content

Polis rakam keterangan Md Rayhan

KUALA LUMPUR: Polis sedang merakam keterangan lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir bagi membantu siasatan berhubung penyiaran dokumentari terbitan Al Jazeera yang berniat memburukkan Malaysia.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan pihaknya kini dalam proses merakam keterangan lelaki itu.

"Kita sudah merakam keterangan Rayhan semalam dan proses itu disambung hari ini. Proses rakam keterangan ke atasnya dijalankan di depoh tahanan imigresen," katanya.

Md Rayhan, 25, yang sebelum ini diburu Jabatan Imigresen (Imigresen) susulan dakwaan palsu yang dilemparkan terhadap kerajaan Malaysia menerusi dokumentari berkenaan, ditahan di sebuah lokasi di Setapak, 24 Julai lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, dilaporkan berkata lelaki itu ditahan sepasukan pegawai Unit Risikan Operasi Imigresen Putrajaya susulan risikan dan buruan berterusan selama dua minggu.

Menurut Khairul Dzaimee, Md Rayhan akan diusir keluar dari negara ini dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.

Pada 7 Julai lalu, Imigresen memohon bantuan orang awam menjejaki Md Rayhan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Ini susulan tohmahan dan dakwaan tidak berasas yang dilemparkannya terhadap kerajaan Malaysia ketika tampil dalam dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' itu.

Polis Diraja Malaysia turut memulakan siasatan terhadap Al Jazeera selepas dokumentari kontroversi itu dilihat berniat jahat untuk memburuk-burukkan Malaysia ketika mengendalikan wabak COVID-19 membabitkan warga asing di negara ini.